Formula aman, makmur ialah adil

- Advertisement -

RATA-rata dunia hari ini, di wilayah Islam dan tidak, huru-hara dan berbencana.

- Advertisement -

Apa gerangan?

Maksud al-Quran, bencana di darat dan lautan gara-gara tangan rakus manusia.

Kita tidak dapat tuding akan malapetaka yang dialami, baik di negara kita yang Islam dan yang lain-lain justeru pemerintahannya zalim.

Apapun bila pemerintah itu zalim diikuti pula oleh masyarakat dan rakyatnya juga zalim, pastilah bencana kepada semua. Waimma petaka itu kecil atau besar. Kecil zalimnya, kecil petakanya. Besar zalimnya, besar pula petakanya.

Rasuah adalah amal kezaliman. Sekadar ia oleh pegawai kecil, tetap ada kesannya sekalipun kecil. Dan jika rasuahnya besar, maka zalim dan bencananya tentulah besar.

Dari segi Islam. Yang tidak menerima Islam dan tidak mengamalkan Islam sejak Adam hingga kiamat adalah zalim. Sekalipun adil amalnya, solatnya seperti solat Nabi, justeru tidak menerima ia akan Islam, tidak diterima solat dan ibadatnya.

Akan tetapi yang Islam, sikap dan perbuatannya zalim, tetap bencana juga kepada umah.

Maka ditekankan oleh Islam, pemerintah dan ketua itu hendaklah adil kerana adil itu adalah rahmat untuk semua. Rahmatan Lil Alamin yang Allah sediakan bukan untuk sekadar disebut, tetapi diamalkan.

Allah Maha Adil dan Ia sayang dan suka kepada keadilan dan yang berbuat adil. Nabi Ibrahim tanya rombongan Jibril dalam misi membinasakan kaum Lut. Adakah dibinasakan masyarakat zalim yang di tengahnya ada yang soleh? Ditangguhkan hingga dipisahkan dulu yang soleh dari yang zalim seperti Nabi Lut dan anaknya dipisahkan dulu dari Sodom.

Maka pemerintah yang adil itu Allah letakkan dalam senarai teratas dari mereka yang dikasihi-Nya dengan dijamin kebahagiaan dan rahmat-Nya.

Antara yang termasyhur pemerintahannya dalam khilafah Islam ialah Khalifah Umar Abdul Aziz. Aman makmur dan sejahtera rakyat di bawah pemeritahannya. Tiada yang sedia menerima zakat justeru kebercukupan pendapatan dan kehidupan masing-masing.

Telah berlaku di kalangan masyarakat Badawi di padang pasir yang terpisah dari masyarakat hadhari yang tamadun dan tidak mengetahui maklumat dan perkembangan semasa. Mereka kagum apabila mendapati hasil kebun masing-masing berganda. Lazimnya tidak semewah itu.

Antara mereka berpendapat, ini adalah justeru perubahan dalam pemerintahan. Pemerintahan yang adil lagi soleh telah memakmurkan semua.

Mereka tidak tahu ketika itu mereka berada di bawah pemerintahan Umar Abdul Aziz yang terkenal adil dan solehnya.

Umar Abdul Aziz tidak memerintah lama. Sekitar dua tahun, tetapi kemakmuran dan keadaan itu telah dikecapi oleh semua dalam waktu yang singkat.

Kefahaman umat pada masa itu tidak tahu dan tidak peka siapa yang berkuasa, tetapi keyakinan semua apabila berlaku keamanan dan kemewahan ia adalah justeru yang memerintah itu adalah orang yang adil dan soleh.

Bertolak dari keyakinan itu betapa keamanan dan kesejahteraan adalah justeru keadilan pemerintahan. Pemerintahan yang adil itu melaksanakan peraturan yang ditentukan Allah dan Nabi-Nya.

Apabila masyarakat itu penuh dengan huru-hara, kacau bilau dan bencana di sana sini, tidak dapat tiada gara-gara mengabaikan keadilan dan peraturan yang Allah tentukan. Malangnya umat Islam sendiri nipis keyakinan iman dan Islamnya.

Moga-moga penyatuan umah yang dituntut oleh semua memulakan keadilan sebagai formula ke arah keamanan dan kemakmuran. – HARAKAHDAILY 25/4/2019

- Advertisement -