Laksana semula PPSMI ulangi kesilapan lalu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seolah-olah mengulangi kesilapan dan kegagalan PPSMI dalam sejarah pendidikan negara.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, ini menggambarkan sikap Tun Mahathir semacam tidak serik dan tidak belajar apa-apa daripada sejarah penentangan PPSMI yang telah membunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah katanya, PPSMI telah membunuh keupayaan Bahasa Melayu dan ratusan ribu pelajar khususnya Bumiputera yang menjadi mangsa.

Sehubungan itu katanya, PLM menyambut baik usaha Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang merancang mengadakan perhimpunan aman untuk membantah usaha perlaksanaan semula PPSMI yang sedang dalam perancangan oleh kerajaan.

“PLM menyokong usaha Sekretariat UMMAH (NGO Gerakan Pembela Ummah), Mohd. Zai Mustaffa yang berhasrat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah Dual Language Programme (DLP).

“DLP yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara paksa dan penuh tipu muslihat, pada mulanya secara “sembunyi-sembunyi” bagi menggantikan PPSMI yang sudah dimansuhkan oleh KPM sendiri.

“Malang sungguh, kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang baharu dan KPM tidak berusaha memberi nasihat yang betul untuk membatalkan program DLP umpama musang berbulu ayam yang telah dijenamakan semula sebagai PPSMI,” katanya kepada Harakahdaily.

Harakahdaily semalam melaporkan UMMAH akan mengadakan himpunan besar-besaran membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula PPSMI.

Himpunan tersebut dijangkakan diadakan pada awal bulan Mei ini sebelum umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Mohd Zai ketika dihubungi Harakahdaily memaklumkan tarikh himpunan bakal diumumkan dalam masa terdekat ini menerusi sidang media UMMAH. – HARAKAHDAILY 24/4/2019

- Advertisement -