Kelantan kutuk serangan ganas di Sri Lanka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut mengutuk serangan bom di beberapa gereja dan hotel mewah di Sri Lanka semalam.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya jenayah serangan terhadap gereja dan hotel yang merupakan tempat awam.

Apa lagi katanya kejadian berlaku sempena hari perayaan Kristian iaitu hari Easter.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita di atas apa yang berlaku.

“Kita juga lahir dukacita terhadap keluarga mangsa yang terkorban disebabkan elemen keganasan dan ekstremis,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima kunjungan rombongan pengurusan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini di pejabatnya.

Kejadian yang berlaku di Sri Lanka semalam menyebabkan 290 mangsa terkorban.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am berkata, tidak kira siapa dan anutan agama sekali pun nyawa manusia tidak boleh dikhianati.

“Semua agama di dunia menolak sekeras-kerasnya keganasan dan ekstremis dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap Presiden Maithripala Sirisena dan kerajaan Sri Lanka menjalankan siasatan untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 22/4/2019

- Advertisement -