Wujudkah tempias vaksin?

- Advertisement -

SERING kali golongan yang menolak vaksin mengunakan hujah rapuh atau isu terpencil untuk mengelirukan masyarakat. Kaedah yang paling mudah supaya orang ramai menjadi sangsi dengan vaksin adalah dengan menakut-nakutkan masyarakat (fear mongering). Mereka akan menggali kes-kes yang jarang berlaku hasil kesan sampingan vaksin dan menuduh bahawa vaksin itu mempunyai kesan sampingan yang bahaya. Sedangkan majoriti pelaporan dan siasatan rasmi kes-kes di seluruh dunia adalah terlalu sedikit.

- Advertisement -

dr suhazeliAtas rasa tanggungjawab dan ketelusan, kajian kes yang terpencil itu dipaparkan secara umum oleh pihak berkuasa kesihatan.

Contohnya antivaksin menuduh punca wabak campak yang berlaku sekarang ini adalah kerana tempias (shedding) dari virus campak yang dikeluarkan melalui air kencing bayi yang telah diberi vaksin. Pengkaji dari CDC (Clinical J. Inf Dis 1995) mendapati RNA virus Measles dikesan dalam air kencing kanak-kanak. Bagi orang awam yang tidak memahami metodologi kajian, akan terus menuduh bahawa vaksin MMR inilah yang menjadi punca jangkitan sebab virus boleh tempias dari individu yang divaksinkan.

Kami sebagai ahli perubatan, faham bahawa vaksin campak adalah vaksin yang telah dilemahkan (live attenuated). Kekuatan virus itu untuk menjangkiti orang lain adalah tipis. Bahkan yang ditemui melalui air kencing itu adalah RNA virus. Kehadiran RNA itu adalah penanda aras bahawa vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak adalah berfungsi secara berkesan. RNA virus tersebut juga boleh didapati dalam darah, tidak pelik bagi kami.

Lagipun virus Measles hanya berjangkit melalui peredaran udara pernafasan. Pesakit yang dijangkiti virus boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain yang bergaul dengan mereka secara terus. Jika satu kes Measles positif, keupayaan virus measles ini menjangkiti 18-20 orang lain lagi. Terlalu bahaya dan cepat perebakannya.

Andaikata virus Measles yang lemah terkeluar melalui air kencing bayi, kononnya bahaya dan menjadi bualan fobia antivaksin, bayi tersebut tidak pun kencing atas muka mereka. Bayi kencing dalam pampers atau bilik air. Air kencing terus dibersihkan masuk lubang tandas!

Isu seperti ini tidak perlu dirisaukan pun. Saya nasihat antivaksin jangan terlebih sudu dari kuah. Lihatlah sendiri di sekeliling kita, berjuta dos vaksin diberikan setiap tahun dalam negara kita. Tiada pun satu kes dilaporkan dalam negara kita disebabkan tempias vaksin itu.

Keyakinan bahawa tiada berlakunya tempias vaksin ini telah pun dibuat kajian oleh para saintis perubatan. Kajian ke atas monyek telah dijalankan dan mendapati tiada berlaku tempias ini di kalangan monyet. Begitu juga kajian ke atas manusia, tidak wujud bukti kukuh berlakunya tempias jangkitan virus selepas pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

Kesimpulannya, antivaksin akan senantiasa mencari helah bagi menegakkan benang basah mereka. Mereka akan terus berusaha mencari kes-kes nadir kesan vaksin bagi menguatkan falasi kefahaman songsang itu dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/4/2019

- Advertisement -