Keutamaan menjauhi kekufuran: Syirik

- Advertisement -
KUFUR yang rendah sedikit kedudukannya daripada atheisme adalah kufur syirik. Contohnya, perbuatan syirik orang Arab Jahiliah. Mereka mempercayai kewujudan Allah, mereka mempercayai bahawa Allah mencipta manusia, dan mentadbir urusan rezeki, serta kehidupan dan kematian. Namun di samping mereka mempercayai perkara yang dinamakan tauhid rububiyah ini, mereka juga mensyirikkan Allah dalam perkara yang dinamakan tauhid uluhiyyah Mereka menyembah perkara yang lain bersama Allah, dan ada juga yang terus menyembah selain daripada Allah. 
 
Mafhum Firman Allah S.W.T:
“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.” 
(az-Zukhruf: 9)
 
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?”
(al-Ankabut: 61)
 
Berikut adalah syirik dalam pelbagai gambaran yang berbeza. Antaranya syirik menyembah berhala oleh orang Arab. Selain itu, syirik majusi oleh orang Parsi yang mengatakan kewujudan dua tuhan, iaitu tuhan kebaikan dan cahaya, serta tuhan kejahatan dan kegelapan. Begitu juga syirik menyembah makhluk oleh orang Hindu dan Buddha.
 
Syirik adalah tempat khurafat dan kebatilan bersarang. Syirik juga merendahkan martabat manusia. Ini berlaku apabila manusia menyembah sesuatu yang diciptakan untuk kegunaan mereka. Mereka menyembah sesuatu yang sepatutnya berkhidmat untuk manusia. Malangnya mereka sendiri yang mahu berkhidmat untuk benda-benda yang mereka ciptakan. 
 
Mafhum Firman Allah S.W.T:
“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?”
(Yunus: 31)
 
“Islam Memimpin”
 
Disediakan oleh:
 
Lajnah Penerangan, 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit – HARAKAHDAILY 20/4/2019
- Advertisement -