Harap tiada penerima tercicir Kad Perak Prihatin

- Advertisement -
IPOH: Kerajaan Negeri Perak diminta memastikan agar para penerima bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut disenaraikan dalam insentif ‘Kad Perak Prihatin’.
 
Demikian ditegaskan Ustaz Khalil Yahaya (PAS – Kubu Gajah) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja pada Sidang Dun Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
 
Secara khusus maklumnya, terdapat 637 penerima bantuan Baitulmal dan JKM dari Daerah Kubu Gajah dan sangat berharap mereka juga berada dalam senarai insentif diperkenalkan tersebut.
 
Kad Perak Prihatin telah dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu pada 10 April lalu yang bakal memberi faedah kepada 17,000 penerima daripada seluruh negeri ini.
 
Ia terlebih dahulu diumumkan pihak kerajaan negeri semasa pembentangan Belanjawan 2019 Negeri Perak tahun lalu dengan peruntukan berjumlah RM22 juta bagi melaksanakan usaha itu.
 
Menerusi insentif tersebut, para penerima akan menikmati dua manfaat iaitu jumlah perbelanjaan barangan keperluan asas sebanyak RM80 sebulan dan pembiayaan perubatan RM300 untuk setahun.
 
Pun begitu, Ustaz Khalil turut melahirkan kebimbangan sekiranya masih ramai tidak tersenarai dari jumlah 17,000 penerima itu memandangkan kadar kemiskinan di Perak juga banyak. – HARAKAHDAILY 20/4/2019
IMG 20190420 WA0055
 
- Advertisement -