Tarik pelancong ke Selama, promosi durian

- Advertisement -
IPOH: Daerah Selama yang mempunyai keindahan khazanah alam semulajadi dan pelbagai keunikan perlu diangkat dan dipromosikan untuk menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.
 
Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin (PAS – Selama) berkata, dengan muka buminya yang terdapat air terjun, gua, bukit dan banjaran ia boleh menyumbang kepada sektor eko-pelancongan.
 
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja pada Sidang Dun Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
 
Menurutnya, semua yang ada di daerah itu mampu menggamit kehadiran pengunjung untuk melaksanakan aktiviti seperti perkelahan atau riadah bahkan pembangunan berkaitan.
 
Beliau merujuk usaha-usaha dapat diadakan seperti membangunkan kem motivasi dan pusat rekreasi sukan lasak yang sudah menjadi gaya hidup dan miliki permintaan masa kini.
 
Malah keluhnya, akibat kurangnya promosi, rakyat negara ini juga tidak tahu bahawa Selama adalah antara pengeluar durian utama di negeri ini, khususnya Batu Kurau selaku ‘kluster durian’.
 
“Jadi pihak kerajaan perlu beri perhatian pembangunan sektor eko-pelancongan dan adakan lebih banyak promosi serta program yang boleh mengangkat nama durian Perak,” ujarnya.
 
Jelas beliau, usaha tersebut bukan sahaja bakal menaikkan nama negeri, malah bakal menjana banyak manfaat terutama meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 19/4/2019
 
- Advertisement -