ECRL: Kita bangga tapi…

- Advertisement -

PENGUMUMAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan dengan kos yang jauh lebih rendah amatlah membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Perlu diketahui, kita adalah satu-satunya negara yang berjaya merundingkan semula kontrak gergasi dengan China di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI) yang dilancarkan sejak 2013.

Pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 12 April baru-baru ini menyaksikan harga projek berkenaan dikurangkan kepada RM44 billion – pengurangan sebanyak RM21.5 billion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 billion.

Malah CCCC bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 billion bayaran pendahuluan yang telah dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Selain daripada penjimatan berkenaan, penyertaan kontraktor tempatan turut ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus dan perkongsian risiko kini tidak lagi ditanggung kita 100 peratus, sebaliknya dikongsi 50-50 dengan CCCC.

Antara kompromi yang kita serahkan kepada China demi memeterai pindaan SA projek ECRL ini ialah 50 peratus pemilikan pengoperasian dan penyelenggaraan kepada CCCC, selain 20 peratus keuntungan yang mana sebelum ini kedua-dua perkara ini adalah 100 peratus milik kita.

Hal ini tentunya mengundang reaksi balas segelintir pihak termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang kini menghadapi berpuluh-puluh tuduhan di mahkamah mengkritik: “Cadangan pihak China terlibat dalam pengurusan ECRL tak wajar kerana ini adalah pengangkutan dalaman negara dan rakyat Malaysia ada kemampuan kendalikan seluruh sistem rel, sebab itu sebelum ini kita latih pekerja kita”.

Menurut Najib lagi, penyerahan 50 peratus pengurusan kepada China “berisiko menjejaskan keselamatan negara kerana maklumat berkenaan keselamatan negara akan diketahui pihak luar”.

Najib turut berhujah bahawa angka RM44 billion yang ditandatangani kerajaan PH untuk projek ECRL ini adalah bukti bahawa tuduhan ahli politik PH tentang ECRL sebagai topeng China untuk membantu membayar hutang 1MDB sebagai tidak benar.

Hal ini demikian kerana kerajaan PH mengakui bahawa kos asal ECRL yang berjumlah RM65.5 billion dikurangkan antaranya melalui pembatalan laluan terowong Banjaran Titiwangsa sepanjang 18km yang bernilai RM10 billion. Sebelum ini, ahli politik Pakatan – sebahagian besarnya memetik sumber Sarawak Report yang bertajuk OUTRAGE! – Najib’s Secret Deal With China To Pay Off 1MDB (And Jho Low’s) Debts! bertarikh 26 Julai 2016 – menuduh kos ECRL sepatutnya hanya sekitar RM30 billion dan kos RM55 billion yang ditandatangani Najib dengan China adalah bukti bahawa berlakunya penyelewengan.

Maka di sini timbul persoalan: jika ECRL ini adalah ‘alat’ Najib untuk membayar hutang 1MDB, mengapa kerajaan PH hanya mengurangkan kosnya menjadi RM44 billion (selepas ditolak RM10 billion terowong Banjaran Titiwangsa)?

Di bahagian manakah dalam kos ECRL yang dikurangkan kerajaan PH ini yang dikatakan sebagai bertujuan ‘membayar hutang 1MDB’ dahulu?

Adakah hal ini tidak dijelaskan kerana sememangnya dalam perjanjian ECRL Najib dahulu tidak melibatkan kos ‘membayar hutang 1MDB’ sama sekali?

Memang benar, pada satu sisi, ahli ekonomi Yunani Panos Mourdoukoutas melalui majalah perniagaan Forbes memuji Perdana Menteri Tun Mahathir kerana berani melawan China manakala pemimpin dunia lain tidak.

Hal ini berbeza dengan negara-negara lain seperti Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina yang diperangkap hutang oleh China.

Namun begitu, pada sisi yang lain, pemeteraian perjanjian tambahan (SA) ECRL ini menimbulkan lebih banyak persoalan politik berbanding jawapan.

Malah, Dr Mahathir sendiri turut mendedahkan bahawa rundingan semula perjanjian projek mega ini ditandatangani tanpa sebarang syarat supaya China menyerahkan ahli perniagaan dalam buruan kerajaan iaitu Jho Low.

Sebaliknya, beberapa hari lalu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan bahawa Jho Low bukan sahaja bebas bergerak antara Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China, malah beliau turut memiliki kad penduduk Hong Kong dan syarikat beliau masih beroperasi di sana.

Semoga kesemua persoalan ini tidak kekal menjadi misteri.

*ABDUL MUEIN ABADI ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia – HARAKAHDAILY 19/4/2019

- Advertisement -