‘KALA Fest’ tarik pelancong ke Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan berpeluang mendapat daging lembu tempatan serendah RM25 sekilogram sempena program Kelantan Authentic Lifestyle (KALA).

- Advertisement -

Sebanyak lima ekor lembu sehari dijangka dijual kepada orang ramai, di mana setiap seorang hanya dibenar membeli dua kg sahaja.

KALA Fest kali ke-6 itu akan diadakan pada 24 hingga 28 April di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hamzah bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Abdul Aziz Yunus, berkata harga daging lembu ditawarkan lebih rendah berbanding harga pasaran RM30 sekg sekarang.

Katanya, harga lebih murah dijual kepada orang ramai memandangkan lembu berkenaan diternak anak syarikat PKINK.

“Orang ramai juga berpeluang menikmati ayam kampung, sayur-sayuran dan buahan segar sepanjang festival tersebut,” katanya pada sidang media di PKINK hari ini.

Abdul Aziz berkata, dianggar seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir pada pesta terbabit.

Sebanyak 103 gerai akan mempamerkan produk usahawan tempatan dan dari luar Kelantan serta pameran agensi kerajaan.

KALA Fest juga akan dimeriahkan dengan kehadiran artis Mustapha Kamal di samping beberapa artis lain.

“Peserta Geng Gi Mekoh Nga Mutor juga akan berkongsi pengalaman mereka pergi ke Tanah Suci baru-baru ini dengan motosikal kapcai,” ujarnya.

Menurutnya juga program itu diadakan bertujuan menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Kelantan sambil menikmati kebudayaan, makanan dan produk tempatan. – HARAKAHDAILY 18/4/2019

- Advertisement -