K’jaan perlu bina rumah, bantu rakyat miliki

- Advertisement -
IPOH: Pemilikan hartanah khususnya rumah kediaman oleh kebanyakan rakyat masih menjadi isu besar yang menuntut pihak kerajaan menanganinya sebaik mungkin.
 
Antara usaha dapat diadakan ialah dengan memperbanyakkan lagi projek perumahan rakyat yang harganya jauh lebih murah berbanding sekiranya ia dibangunkan pihak swasta.
 
Hal tersebut dikemukakan Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin (PAS – Selama) dalam perbahasan Titah Diraja pada Sidang Dun Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
 
Menurutnya, menerusi cara demikian akan dapat membantu rakyat untuk mudah memiliki hartanah di negeri ini, terutama kepada golongan berpendapatan rendah serta tidak mampu.
 
Beliau merujuk masalah sama dihadapi kebanyakan penduduk dalam Dun diwakili beliau di mana mereka hanya hidup dengan mendiami rumah pewarisan pusaka turun temurun.
 
Bahkan katanya, walaupun Selama adalah kawasan luar bandar, tetapi terdapat rumah kediaman yang harganya lebih mahal dari yang dibangunkan di pinggir bandar.
 
Malah turut diutarakannya, sebahagian golongan berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan terpaksa tinggal menyewa kerana tidak mampu membeli rumah yang mahal di Selama. – HARAKAHDAILY 19/4/2019
- Advertisement -