TH: Ke mana hala tuju selepas 1.25%?

- Advertisement -
PENDAHULUAN
 
Berita mengenai pengisytiharan hibah Tabung Haji (TH) sebanyak 1.25 peratus pada awal April ini mencetuskan reaksi hiba pelbagai pihak. Lantas ramai yang bertanya, “Kenapa hanya 1.25 peratus sahaja?”. Jawapan yang diterima hanya menambahkan hiba, iaitu jawapan standard era Malaysia Baharu, “Ini legasi yang ditinggalkan (pentadbiran terdahulu), bukan disebabkan kami.”
 
Hibah yang rendah memang telah sedia dijangka. Ia telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof sejak pengisytiharan ‘dividen haram’ oleh beliau pada 10 Disember tahun lepas lagi. 
 
Namun pengisytiharan hibah tidak sampai 2 peratus itu benar-benar mengejutkan. Ia memberikan isyarat bahawa TH tidak lagi menawarkan kadar hibah yang setara atau lebih baik daripada produk simpanan ditawarkan oleh bank-bank lain secara signifikan. 
 
Nampaknya kelebihan bersaing TH daripada sudut pulangan lebih baik berbanding pesaing-pesaingnya telah pun berakhir.
 
 
TH dan punca kerugian
 
Naratif yang sering dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah TH mengalami kerugian disebabkan oleh penyelewengan pengurusan terdahulu. Antaranya disebabkan oleh kes penjualan saham oleh dua anak syarikat TH pada tahun 2012, pembahagian ‘dividen haram’ oleh TH sejak tahun 2014 dan penyelewengan dana Yayasan Tabung Haji kerana kepentingan politik.
 
Faktor susut nilai aset TH disebabkan kelembapan ekonomi pasca PRU14 tidak pernah direkodkan sebagai faktor pertimbangan. Kejatuhan mata Bursa Malaysia yang begitu menjolok mata juga, turut diabaikan.
 
Akhirnya TH diisytiharkan mengalami kerugian yang amat teruk, iaitu defisit sebanyak RM4.1 billion. Kesalahan itu dipikulkan sepenuhnya ke atas pengurusan lama TH. Pengurusan lama juga dituduh sengaja menyembunyikan fakta tersebut daripada pengetahuan umum. 
 
Laporan polis terhadap kes penjualan saham pada tahun 2012 dan penyelewengan dana Yayasan TH telah dibuat oleh Pengurusan baru. Setakat ini siasatan terhadap dua laporan polis ini masih tidak dimaklumkan tentang perkembangan terbarunya. 
 
Namun tiada laporan polis atau siasatan lanjut dibuat terhadap dakwaan pembahagian ‘dividen haram’ sejak tahun 2014. Pengurusan lama pula menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut setiap kali ia diulangi oleh Menteri.
 
 
Kerugian TH halang beri hibah?
 
Kerugian TH diumumkan bersekali dengan dakwaan ‘dividen haram’ sejak tahun 2014 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018 menimbulkan dua persoalan utama.
 
Adakah ‘dividen haram’ itu perlu dikembalikan? 
 
Beliau menjawab, “Bagi yang menerima (hibah), mereka tidak tahu apa penyelewengan yang berlaku dan sudah diberikan hibah itu, jadi tidak perlu untuk membayar balik.”
 
“Jadi itu bukan masalah orang yang menerima tetapi masalah pengurusan. Apa kita buat adalah untuk memperbaiki pengurusan itu supaya pada masa depan ia ikut cara yang betul”.
 
Pelik juga bagi kes ‘dividen haram’ ini. Ia ‘haram’ tapi tak perlu dipulangkan kerana ia adalah dividen halal untuk penerima yang tidak tahu tentang penyelewengan yang berlaku.
 
Adakah akan ada hibah bagi tahun 2018, ekoran kerugian TH yang diisytiharkan itu?
 
Beliau menjawab, “Saya yakin dengan tindakan pemulihan yang sudah bermula sejak Julai lalu, hibah atau dividen bagi tahun 2018 akan dapat diberikan kepada pendeposit, namun kadarnya bergantung pada keuntungan”.
 
Kita pun agak kagum dengan jawapan ini, dalam masa setengah tahun sahaja Pengurusan baru TH akan berjaya menyelesaikan masalah defisit RM4.1 billion. 
 
 
Selesai kerugian TH dengan SPV
 
Secara teorinya, TH perlu betul-betul menjana keuntungan RM4.1 billion bagi membolehkan penyata kira-kiranya menjadi imbang. Ini kelihatan mustahil untuk berjaya dilakukan dalam masa satu atau dua bulan sebelum penyata akaun 2018 TH ditutup.
 
Namun bagaimanakah untuk segera untung itu? Langkah segera ialah menjual aset yang rendah nilai dengan nilai yang lebih tinggi. Caranya? Menjual aset-aset yang bernilai rendah dengan harga yang tinggi kepada syarikat SPV. Tetapi harga yang tinggi ini dibayar oleh SPV kepada TH dalam bentuk saham. 
 
Tidak ada transaksi tunai yang terlibat. Tetapi ia segera memulihkan penyata kira-kira TH yang sebelum itu mengalami penyakit kronik pada tahap kritikal.
 
Kita pun menyaksikan proses pindahan aset yang berprestasi rendah ini dengan nilai RM19.9 billion ke SPV di bawah Kementerian Kewangan. Aset ini akan dikembalikan semula kepada TH setelah ia dipulihkan kepada nilai sebenar.
 
Jadi TH tak perlu lagi pening kepala memikirkan tentang aset bernilai RM19.9 billion itu. Ia telah dilepaskan kepada SPV untuk dipulihkan. Nilai aset juga telah pulih daripada segi perakaunan, di mana aset dinilai melebihi liabiliti.
 
Dengan itu, TH boleh mengisytiharkan hibah mengikut Akta TH.
 
 
Bina keyakinan pendeposit dengan kredibiliti Dato’ Seri Zukri Samat
 
Pelan pemulihan TH dimulakan dengan pembentukan pasukan pengurusan baru di bawah Dato’ Seri Zukri Samat sebagai CEO. Langkah awal pengurusan baru ialah membuat dua laporan polis terhadap pengurusan lama.
 
Dato’ Seri Zukri adalah tokoh yang dikenali dalam sektor perbankan kerana kejayaan beliau memulihkan Bank Islam yang kerugian teruk pada suatu ketika. Oleh itu, kredibiliti beliau sebagai pemain utama untuk memulihkan TH adalah tidak wajar untuk dipertikaikan.
 
Namun kita masih mempunyai kebimbangan kerana isu-isu berkaitan TH mutakhir ini adalah lebih besar daripada bidang kuasa CEO.
 
Pengisytiharan dividen 1.25 peratus ini juga menghakis sedikit sebanyak keyakinan para pendeposit proses pemulihan TH yang diterajui oleh CEO baru ini. Jika tahun depan hibah masih lagi dengan kadar seperti ini, keyakinan pendeposit akan terus terhakis pantas.
 
 
Isu-isu sebelum pengisytiharan hibah
 
Sebelum hibah TH diisytiharkan, beberapa isu berkenaan kewajiban TH memberikan subsidi haji dan kewajiban memberi hibah dipersoalkan sendiri oleh Menteri dan pakar-pakar rujuk yang bersependapat dengan beliau.
 
Antaranya, pengiring kepada bakal haji yang uzur tidak lagi diberikan subsidi, kerana beban TH sudah terlalu besar. Setelah menerima kecaman ramai dan mendapat penjelasan daripada pengurusan lama tentang cara subsidi yang diberikan kepada pengiring tidak menambahkan beban yang dipikul oleh TH, dasar itu ditarik balik. 
 
Antaranya lagi, TH diuar-uarkan telah memberikan subsidi haji yang terlalu besar untuk ummat Islam di Malaysia. Ummat Islam perlu bersedia untuk kurang bergantung kepada subsidi. 
 
Antaranya lagi, ummat Islam secara berulang diingatkan, haji itu hanya wajib kepada golongan yang berkuasa. Antara maksud berkuasa ialah golongan yang mampu menyediakan belanja mengerjakan haji. Oleh itu, jangan bimbang tak dapat pergi haji kerana duit kita tak cukup disebabkan tiada subsidi. Kita tidak berdosa di sisi Allah S.W.T.
 
Antaranya lagi, TH juga adalah sekadar pemegang wadiah. Ia tak wajib memberikan hibah kepada pendeposit. Hibah diberi hanyalah sebagai ‘baik hati’ daripada pengurusan TH.
 
Isu-isu ini amat merimaskan pendeposit TH. Adakah TH sekarang hanya diwakili huruf ‘T’ sahaja, iaitu ‘Tabung’. Dan tidak lagi tanggungjawab untuk melabur bagi pihak pendeposit, membantu dan menguruskan mereka menunaikan ‘H’, iaitu ‘Haji’?!
 
 
Isu-isu TH yang dilihat perlukan RCI atau Suruhanjaya Khas TH
 
Oleh itu, kita merasakan ada suatu kepentingan segera untuk pihak Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Khas DiRaja (RCI) bagi menyiasat hakikat kerugian sebenar TH dan mencadangkan pelan pemulihan TH secara bersepadu. 
 
Di samping itu juga, ia perlulah membuat keputusan terhadap isu-isu segera yang melibatkan TH bagi kepentingan TH sendiri sebagai lembaga pelaburan ummat Islam, para pendeposit dan ummat Islam keseluruhannya.
 
Antaranya;
 
1. Menyiasat Laporan-Laporan Audit TH yang saling bertentangan tentang dakwaan kesilapan memberi ‘dividen haram’ bagi tahun 2014-2017.  Ini kerana ia melibatkan badan-badan pengauditan yang berwibawa tetapi mendapat dapatan yang sangat berbeza. Iaitu PriceWaterhouseCoopers (PWC), Ernst & Young dan Jabatan Audit Negara sendiri.
 
2. Bentuk hubungan TH dengan pendeposit. Adakah akad wadiah yang tidak mewajibkan TH memberikan hibah kepada para pendeposit bersesuaian dengan bentuk risiko pelaburan yang diambil oleh TH dalam menguruskan pelaburan yang diperolehi daripada para pendepositnya?
 
3. Membuat keputusan adakah TH hanya sebagai badan penerima tabungan semata-mata, atau ia juga adalah badan pelaburan? Adakah pulangan yang diberikan kepada pendeposit ialah hibah atau keuntungan?
 
4. Mengkaji ura-ura menghadkan pelaburan setiap pendeposit dengan kadar tertentu bagi mengelakkan dia mendapat faedah hibah yang besar secara pengecualian cukai. Bukankah langkah ini akan menghilangkan kelebihan TH dalam mendapat tabungan modal yang lebih besar?
 
5. Mengenal pasti langkah-langkah yang bakal diambil bagi mengecilkan perbelanjaan urusan-urusan haji yang ditanggung oleh TH. Adakah ia akan menyebabkan bakal haji akan kehilangan banyak kelebihan yang telah disediakan oleh TH selama ini.
 
 
Penutup
 
Pengisytiharan hibah 1.25 peratus, telah mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap TH. Tekanan semakin bertambah kepada Pengurusan baru TH untuk merealisasikan hibah yang lebih kompetitif pada tahun-tahun yang mendatang. 
 
Kesilapan menguruskan persepsi ini boleh meranapkan keyakinan para pendeposit, terutamanya yang menyimpan wang di TH untuk tujuan pelaburan. Mereka mungkin tidak ramai, tetapi dengan simpanan yang besar. Jika mereka keluar, terdapat kesan yang signifikan kepada penurunan mendadak tabungan TH pada masa hadapan.
 
Terbaru kita mendengar Kerajaan menyuntik dana sebanyak RM28 billion untuk memulihkan TH. Kita gembira Kerajaan dilihat prihatin dengan isu TH. Apatah lagi ia adalah satu komitmen yang besar bagi Kerajaan yang mempunyai ‘hutang melebihi satu trillion’. 
 
Perkembangan ini, saya dengar daripada wawancara terbaru RTM dengan YB Nga Kor Ming. 
 
Walaupun begitu, daripada aspek yang lain, suntikan pihak Kerajaan ini telah menambahkan lagi kekeliruan terhadap hakikat sebenar yang sedang berlaku di TH. Sekurang-kurangnya, ia menunjukkan TH sedang menuju ke hala tuju yang lebih besar daripada yang dimaklumkan kepada kita melalui sidang media. Apakah halatuju baru TH?
 
Kita memang mahu TH terus gah menjadi institusi yang menguruskan pelaburan ummat Islam. Aset-aset strategik milik TH serta tabungan yang dimilikinya amat dicemburui oleh pesaing-pesaingnya. Oleh itu penubuhan Suruhanjaya Khas bagi isu TH ini adalah sangat perlu disegerakan bagi memastikan TH tidak terpesona dengan usaha-usaha yang kelihatan menarik untuk mengukuhkannya, namun pada akhirnya mampu meranapkannya.
 
Ambillah iktibar dengan pepatah Melayu;
 
“Jong pecah, Yu kenyang”.
 
“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
 
ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa
PAS Kawasan Marang
17 April 2019 – HARAKAHDAILY 17/4/2019

- Advertisement -