Mengapa baca al-Quran tetapi sesat?

- Advertisement -
SERUAN membedah isi kandungan Al Quran dengan tujuan mengelirukan umat sudah bermula sejak 1927, oleh Alfonso Mingana, pendeta Kristian yang berasal dari bumi Iraq.
 
Beliau menyebutkan: “The time has surely come to subject the text of the Quran to the same critiscm as that to which we subject the Hebrew and Aramaic of the Jewish Bible, and the Greek of the Christian scriptures.” 
 
Kecewa terhadap Bible
 
Lontaran ini disebabkan kekecewaan sarjana Kristian dan Yahudi terhadap usaha menyaring kitab suci mereka yang menemui jalan buntu. Pelbagai teknik dibuat termasuklah kaedah Hermeunatik demi mengabsah dan menyatukan isi kandungan Bible yang pelbagai versi dan bercelaru. Namun, semakin mereka saring, semakin banyak kesilapan yang ditemui!
 
Mengakui kecelaruan Bible yang bercampur aduk kalam tuhan dan manusia, tetapi sikap ego dan sombong membutakan mereka untuk mengikut kebenaran Al Quran.
 
Kata R. Bentley “… the textus receptus’ is to be abandoned altogether!” merujuk pada perasaan kecewa untuk mencari kebenaran dalam bible versi Paus Clement.
 
Cemburu terhadap Al Quran
 
Sifat hasad dan dendam mendorong mereka untuk mengkaji Al Quran, lalu berusaha menerbitkan ‘mushaf’ hasil penelitian mereka terhadap Al Quran.
 
Seorang Orientalis Jerman, Gustav Flugel menerbitkan mushafnya yang diberi tajuk Qorani Textus Arabicus, kemudian muncul pula Theodor Noldeke yang cuba merungkai semula sejarah Al Quran dengan karyanya Geschichte des Qorans yang menjadi rujukan segelintir penganut Liberal di Indonesia. 
 
Datang pula Arthur Jeffery, orientalis Australia pada tahun 1937, mengkritik Al Quran Mushaf Usmani dan membuat mushafnya sendiri. Dan juga direkodkan puluhan usaha golongan ini terhadap kesucian Al Quran. 
 
Allah Ta’ala memberi hidayah dan panduan buat pendokong agamanya diseluruh dunia untuk menjawab dan membetulkan semula salah faham yang dibuat-buat, dan kedangkalan kefahaman golongan Orientalis. Semoga Allah merahmati para ulamak Islam atas usaha ini. 
 
Malangnya, jati diri umat Islam yang lemah dan semakin hilang, menyebabkan tidak sedikit yang terkeliru dan terkesan dengan tulisan dan pemikiran ini, termasuklah kumpulan yang menamakan diri mereka Liberal. 
 
Mereka mengajak umat Islam untuk kritik Al Quran sebagaimana mereka berjaya mengajak umat Islam mengkritik Nabi S.A.W dengan alasan Baginda juga manusia biasa. 
 
Bacalah dengan keimanan 
 
Nabi S.A.W menjanjikan buat umat akhir zaman, sesiapa yang berpegang sungguh dengan Al Quran dan Hadith, nescaya tidak akan sesat, lalu mengapa membaca Al Quran menjadi sesat? 
 
Ia berbalik di atas niat dan tujuan sebenar kita dalam meneliti kandungannya. Mencari kebenaran atau mencari jawapan yang mengikut hawa nafsu? Selayaknya, kita membaca Al Quran supaya kita mendapat petunjuk, lalu bertambah iman, juga bertambah ilmu. Rata-rata, kita seronok kononnya bertambah pengetahuan akhirnya menjauhi kebenaran kerana sejak dari awal kita sudah berkiblatkan Barat. Sesat kerana niatnya yang salah, juga membaca kupasan orang yang salah. 
 
Semoga kita semua diberikan hidayah, dan diberi kekuatan memelihara hidayah ini.
 
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
(al-Baqarah: 2)
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
17 April 2019 – HARAKAHDAILY 17/4/2019
- Advertisement -