KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyambut baik hasrat pengurusan Lembaga Kemaju Pertanian Kemubu (Kada) melantik wakil kerajaan negeri sebagai ahli lembaga pengarahnya.
Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, hasrat itu selaras dengan Akta Kada 1972.
Katanya, langkah tersebut sebagai pembaharuan yang dilakukan pengurusan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan agensi tersebut bagi memastikan pembangunan pertanian di Kelantan.
“Bagaimanapun sekarang petani merungut hanya mendapat satu jenis sahaja baja, setengah tempat hanya dua jenis baja, sedangkan dahulu ada empat jenis baja.
“Jadi kita berharap pengurusan baharu melihat kepentingan pesawah secara lebih menyeluruh tanpa sebarang sekatan,” katanya selepas merasmikan penutup Karnival Bio Kelantan 2019 yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung di sini semalam.
Sebelum ini Pengerusi Kada Senator Dato’ Husam Musa dilapor bersetuju melantik seorang wakil kerajaan negeri sebagai anggota lembaga pengarah agensi kerajaan itu. – HARAKAHDAILY 16/4/2019