Rantau memilih, jangan ulang kesilapan lalu

rt1
- Advertisement -

PAGI ini jam 8.00 semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan dibuka bagi pengundi berdaftar N.27 Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau memilih sekali lagi siapa wakil rakyat mereka.

- Advertisement -

Malam tadi hingga jam 12, kempen tetap diteruskan semua parti bertanding dengan PH menggunakan detik akhir kempen mengadakan ceramah Grand Finale di perkarangan Sendayan Metro Park, berhampiran D’Sora Hotel di Sendayan.

Walaupun ‘top gun’ PH berhimpun di sini malam tadi, namun tidak berlaku kesesakan jalan raya dan kehadiran tidaklah ‘pecah panggung’.

Sementara BN-PAS pula mengadakan Ceramah Perdananya sehari lebih awal di Taman Angsamas berjaya menghimpunkan lebih 10,000 penonton hingga sesak jalan masuk ke taman tersebut sejak selepas Maghrib.

Ceramah yang membariskan Tuan Guru Presiden PAS dan calon BN, Dato’ Seri Utama Mohammad Hasan selain wakil parti komponen BN.

Hari ini, pengundi di sini bakal menentukan pilihan mereka selepas dua minggu mereka memerhati kempen dan tujahan hujah semua pihak.

Empat calon bertanding, masing-masing dua mewakili parti dan dua calon Bebas.

Barisan Nasional (BN) menampilkan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Dr S Streram (Pakatan Harapan) termasuk dua daripada Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Sementara 20,793 pengundi berdaftar akan mengundi di PRK Rantau pada hari ini di 14 PDM.

PRK Rantau diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, Mohamad Hasan sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan.

Kehangatan kempen PRK Rantau tidak kurang hebat berbanding enam PRK yang terdahulu.

Jika Umno-BN menang di sini sekali lagi maka Tok Mat adalah pelengkap hatrik kemenangan yang kini bekerjasama dengan PAS sejak beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Rantau cukup sinonim dengan Tok Mat khususnya bagi penduduk pekan Rantau dan Bandar Sri Sendayan.

Segala tohmahan kononnya Negeri Sembilan miskin di zaman pemerintahannya adalah hujah longgar dan tidak wibawa.

Bagi penulis sendiri, menjadi warga Bandar Sri Sendayan, dapat melihat sejak tahun 2008 betapa pembangunan dengan bandar baharu di sini pesat membangun.

Tok Mat berjaya menyelesaikan kemelut pengambilan tanah Felda sendayan yang ditinggalkan urusannya oleh bekas MB sebelumnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Malah peneroka Felda Sendayan cukup berbangga dengan memiliki rumah banglo di Villa Sendayan yang disediakan sebagai pampasan pengambilan tanah selain wang pampasan dan rumah asal di tapak tanah Felda di kampung Sendayan masih kekal.

Rata-rata pendudul di sini amat berbangga memiliki Tok Mat, malah pembinaan Masjid Bandar Sri Sendayan yang tesergam indah di jalan masuk ke Villa Sendayan menjadi mercu tanda kejayaan Tok Mat membangunkan kawasan ini.

Benar syarikat Matrik yang menjalankan pembinaan di sini, namun harus diingat ia adalah dengan kerjasama MBI yang dahulunya diterajui Tok Mat.

Kemajuan yang melimpah dengan idea Negeri Sembilan ‘my second home’ menjalarkan kejayaan dengan ramai pekerja di kota besar Kuala Lumpur menjadi penghuni di Seremban 2 dan Bandar Sri Sendayan.

Kejayaan ini menjadikan Tok Mat cukup terkenal, malah tidak ada MB negeri adat perpatih ini yang setanding dengannya membangunkan negeri ini dan menjadi buah mulut sejak sekian lama.

Jika mahu dinafikan sumbangan ini, bak kata Tok Guru Presiden PAS pada ceramah 11 April “saya datang ke sini malam ini, saya berceramah tidak pun guna lilin sebab elektrik ada, pembangunan di sini pesat hasil kejayaan Tok Mat, jadi yang di sebelah sana itu jangan cakap melampau sangat”.

Pengundi di sini kenal akan sumbangan Tok Mat menjayakan pembangunan dan dalam masa yang sama mengimbangkan pembangunan sahsiah bagi rakyat negeri ini semasa menerajui negeri.

Jadi pengundi Rantau tahu dan kenal akan sumbangan Tok Mat. Sama-sama kita tunggu detik 10.00 malam ini apabila keputusan rasmi proses penjumlahan undi yang bakal berlangsung di SRJKC Bandar Sri Sendayan.

Mungkinkah kejayaan hatrik akan dilengkapkan Tok Mat bagi barisan pembangkang? Sama-sama kita nantikan. – HARAKAHDAILY 13/4/2018

- Advertisement -