PAS Lenggong kehilangan aktivis berjasa

- Advertisement -
LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong kehilangan seorang aktivis yang banyak berjasa, khususnya dalam usaha menggerakkan usrah di peringkat Cawangan dan Kawasan.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Lenggong, Ustaz Mohd Hanafiah Idris memaklumkan, aktivis berkenaan, Arip Jabar yang telah pergi menghadap Allah S.W.T pada 7 April lalu juga telah berjaya meningkatkan legasi PASTI Al-Rahman, Air Panas.
 
Katanya, Allahyarham meninggal dunia setelah sempat memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Lenggong selama enam hari untuk sesi 2019-2021 selepas terpilih semula pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 31 Mac lalu.
 
“Allahyarham adalah pesara guru dan dalam PAS, beliau sangat aktif menghidupkan usrah sehingga dilantik sebagai naqib.
 
“Beliau juga adalah tenaga penting yang berusaha keras memajukan PASTI Al-Rahman di kampungnya, Kampung Air Panas,” ujarnya kepada Harakahdaily semalam.
 
Mohd Hanafiah jelaskan, sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya, Allahyarham pernah menjawat jawatan Setiausaha PAS Kawasan Gerik dari tahun 1980 hingga 1990-an.
 
Menurutnya, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan itu, adalah seorang aktivis ABIM Gerik sebelum menyertai PAS dan aktif dalam parti sehingga ke akhir hayatnya.
 
“Pemergiannya sangat dirasakan oleh saf pimpinan, ahli-ahli serta para penyokong PAS kawasan dan cawangan-cawangan seluruh Lenggong dan Gerik khususnya, malah bebas-bekas anak muridnya, rakan-rakan serta masyarakat setempat.
 
“Oleh kerana besar jasanya kepada Islam dan masyarakat Ialam, ratusan orang yang solat ke atas jenazahnya memenuhi ruang Masjid Kampung Air Panas.
 
“Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya negeri dan Yang Dipertua kawasan, Razman Zakaria serta saf pimpinan serta ahli-ahli turut menunaikan solat jenazah Allahyarham,” tambahnya.
 
Beliau turut memaklumkan, Allahyarham meninggalkan beberapa orang anak dah salah seorang anaknya, Ustaz Zulfadli Arip berjanji akan menyambung perjuangan ayahnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2019
 
* Allahyarham (gambar) berdiri lima dari kiri seusai Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Lenggong, 31 Mac lalu.
- Advertisement -