Lawatan Muafakat ke MIC

- Advertisement -

BUMI India bersejarah adalah di antara tamadun yang paling awal kedatangan Islam, termasuk pada abad pertama yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W.: “Sebaik-baik abad adalah abadku, kemudian berikutnya….”. Ada di kalangan sejarawan yang menyatakan datangnya Islam seawal pengaruh agama tauhid (Islam) yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S.

- Advertisement -

Disebut oleh Rasulullah S.A.W.:

“Bahawa seorang lelaki pada zaman dahulu yang banyak melakukan dosa dan menyesal lalu mewasiatkan pada anaknya supaya membakar mayatnya, abunya ditaburkan supaya ditiup angin atau dihanyutkan bertebaran ke mana sahaja, lalu Allah menyatukannya semula dan menghidupkannya di Alam Barzakh mengadap Allah dan bertanya: “Mengapa kamu lakukan itu?’’ Lalu dia mengaku: “Wahai Tuhanku! Menyesal terhadap dosa yang dilakukan’’. Lalu Allah mengampunkan dosanya”. (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Namun cara ini dinasakhkan (dibatalkan) oleh syariat Islam yang diwahyukan kepada nabi selepasnya. Perubahannya berlaku kepada agama Hindu dan agama lain setelah berlalu beberapa abad.

Dikatakan perkataan ‘Brahma’ yang menjadi salah satu pemujaan agama Hindu itu adalah Ibrahim yang dipuja sehingga dilantik menjadi tuhan. Begitu juga penganut Yahudi dan Kristian menyebut ‘Abraham’ dan menjadi salah satu riwayat Qiraat Al-Quran (As-Syamiyah) yang boleh dibaca. Kepada penganut Islam yang berpegang kepada Al-Quran, bahawa Allah berfirman:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67) إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ (68)

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. (67); Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi ini (Muhammad S.A.W.). serta orang-orang yang beriman. Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman”.(68) (Surah Aali ‘Imraan: 67-68)

Begitulah bersejarahnya India menjadi tempat lahirnya banyak agama seperti Buddha, Sikh dan lain-lain. Penelitian ilmuwan perbandingan agama menemui bahawa kerasulan Nabi akhir zaman disebutkan dalam kitab suci pelbagai agama termasuk Veda, kitab agama Hindu. Antaranya: “Hai orang banyak, dengarlah ini dengan sungguh-sungguh, Narashanga (Yang Terpuji) akan dibangkitkan di antara orang banyak. Kita mengambil orang Kaurum (Muhajirin) itu di dalam perlindungan kita dari 60,000 dan 90,000 musuh-musuh yang kenderaannya adalah 20 unta dan 2 unta betina, memiliki 12 orang isteri dan naik ke langit dengan kenderaan tercepat (Buraq)…” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127, Mantra 1-2)

Bagi umat Islam, Narashanga (Yang Terpuji) adalah terjemahan daripada perkataan Nabi Muhammad S.A.W. Maka terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian secara perbandingan dengan ikhlas untuk mencari kebenaran tanpa paksaan.

India juga merupakan tempat lahirnya para ulama’, khususnya yang memelihara ilmu Hadis Nabawi seperti Al-Mubarakfuri dan Anwar Shah Al-Kashmiri, dan tempat kedatangan para ulama’ mujaddid seperti Ahmad As-Sir Al-Hindi, Shah Waliyullah Ad-Dahlawi, Al-Kalikuti Al-Malibari (kitabnya Mazhab Syafie dipelajari di pondok-pondok nusantara) dan lain-lain. Di sana juga banyak pusat-pusat pengajian tinggi setanding dengan Makkah, Madinah, Baghdad, Az-Zaitun di Tunisia, Al-Azhar di Mesir dan lain-lain. Dan ramai tokoh PAS adalah lulusan universiti di India seperti Dr. Burhanudin Al-Helmi, Abu Bakar Umar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lain lagi.

Bagi saya Maulana Abu Hasan Ali An-Nadawi ialah seorang ulama’ besar India yang saya hormati, kasihi dan salah seorang yang dikira guru saya, idola ilmuwan yang saya banyak membaca tulisannya.

Saya mula mengenalinya semasa menuntut ilmu di Universiti Madinah, kerana beliau ialah salah seorang Ahli Majlis Universiti. Saya bukan sahaja mendengar ceramahnya yang hebat, bahkan pernah berusrah dengan beliau dan menegur saya memakai kemeja batik, katanya itu sesuai untuk wanita.

Saya juga merasai kasihnya beliau kepada saya kerana menghadiahkan buku-buku tulisannya dengan tulisan tandatangannya. Beliau pernah melawat dan berehat di rumah saya dan berceramah di Masjid Rusila, kampung saya sebelum meninggal dunia. Malang dan sedih saya tidak dapat memenuhi undangannya ke Nadwatul Ulama’ di Lucknow semasa hayatnya dan terpaksa menunaikan rasa tanggungjawab itu setelah beliau meninggal dunia. Terasa malu kerana diberi sambutan terhormat oleh keluarga dan murid-muridnya.

Beliau ialah salah seorang tokoh ulama’ yang dihormati oleh saudara kita daripada Jamaah Tabligh. Tulisan dan ceramahnya tersebar dan terkenal di dunia Islam, termasuk negara Arab. Bahasa Arabnya setanding dengan orang Arab sendiri dari segi uslub dan lafaznya.

Pengalamannya bersama masyarakat majmuk di India patut menjadi contoh kerana sikapnya yang wasathiyyah (sederhana) tidak melampau, sehingga dihormati oleh kalangan penganut agama Hindu walaupun ketegasannya berpegang dengan ajaran Islam dan amalannya. Beliau tetap menunaikan dakwah kepada bukan Islam tanpa paksaan dan tidak putus hubungan yang menjadi konsep kelangsungannya.

Beliau berpandukan konsep yang ditegaskan oleh firman Allah:

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا وَمَا جَعَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ (107) وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (108)

“Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan Engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan Engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata). (107); Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (108) (Surah Al-An’aam: 107-108)

Almarhum mengenali saya yang terlibat dengan politik. Ketika menyambut lawatannya, bersama dalam kereta, tiba-tiba beliau menasihatkan saya berpolitik dengan menegaskan: “Politic is not a straight line”.

Tulisannya dalam bidang politik menghasilkan beberapa buah buku, khususnya buku ‘’Betapa Ruginya Dunia dengan Sebab Kemunduran Umat Islam’’. Buku itu diberikan kata pengantar oleh As-Syahid Sayyid Qutb mencatatkan kejayaan Islam memerintah negara besar yang bertamadun paling unggul. Adapun Barat yang menciplakkan tamadun Islam itu mengalami keruntuhan kerana meninggalkan roh Islam dan menganut fahaman sekular.

Tulisan beliau khususnya Sirah Nabawiyyah yang menghuraikan politik Rasulullah S.A.W. memerintah negara masyarakat majmuk yang berjaya pada zamannya. Dalam satu bukunya, Al-Marhum mencatatkan tulisan mendiang Jawaharlal Nehru, ‘Discovery of India’, berkenaan jasa tamadun Islam kepada India.

Mujaddid Almarhum Jamaludin Al-Afghani yang dihalau daripada tanah airnya berhijrah ke Iran, kemudiannya dibuang ke India pada awal abad yang lalu. Pidatonya yang terkenal di India menegaskan:

“Wahai rakyat India! Sekiranya Allah ciptakan kamu menjadi lalat, dengan jumlah kamu yang ramai ini, sekiranya kamu bersatu, cukup dengan suara dengungan sahaja sudah boleh memekakkan telinga penjajah Inggeris. Sekiranya kamu diciptakan menjadi kura-kura, kalau kamu bersatu berenang ke Pulau England dengan jumlah yang besar ini cukup bagi menenggelamkan pulau itu dan kamu kembali semula ke India menjadi bangsa yang merdeka”.

Ucapan ini mencetuskan semangat menentang penjajah di India yang menyatukan masyarakat berbagai agama dan suku, sehingga tokoh besar itu dibuang pula ke Mesir dan kemudiannya ke Perancis. Revolusi Islam di Iran juga adalah tempias perjuangannya ketika dibuang ke Iran. Saya sebutkan ucapan ini ketika melawat Pejabat MIC.

Sejarah perjuangan kemerdekaan India melibatkan tokoh masyarakat majmuk pelbagai agama termasuk daripada kalangan umat Islam seperti Abu Kalam Azad dan lain-lain, bukan sahaja Mahatma Ghandi, Nehru dan Chandra Bose.

Mahatma Ghandi secara khusus tetap dihormati walaupun beragama Hindu kerana sikap damainya dalam perjuangan terhadap masyarakat majmuk, sehingga beliau menjadi korban dibunuh oleh pelampau Hindu seagamanya.

Walaupun berpecah selepas merdeka dengan tertubuhnya negara Pakistan, dan selepas itu Bangladesh, namun masyarakat majmuk masih wujud di Benua India kerana ada di kalangan pemimpin Islam yang masih tetap mempertahankan bahawa umat Islam perlu berada dalam masyarakat majmuk.

Bagi umat Islam, pendekatan bertemu, berdialog dan terkini bertaawun dalam perkara kebajikan adalah cara yang perlu diperkenalkan. Demi mesej Islam yang bukan sahaja dalam aspek dakwah mengajak kepada Islam tanpa paksaan, Islam juga menjalin hubungan kemanusiaan yang menjadi peranan konsep bermasyarakat Madani yang menjadi tujuan diciptakan manusia. Maka kewujudan masyarakat majmuk ini dilihat dari aspek positifnya dengan mengambil kira titik persamaan yang membolehkan kita bertaawun (bertolong-menolong) dan bertahaluf (bersefahaman) tanpa tegang dalam pertelingkahan.

Izinkan Islam mengurus masyarakat majmuk secara demokratik seperti yang telah diberikan kepada ideologi dan teori lain selama ini yang kita lihat kesannya yang banyak negatif. Mengapa takut memberi peluang kepada Islam?

Selain itu, hadapilah perkara yang berbeza secara terbuka dengan dialog mencari kebenaran yang menjadi tujuan semua manusia, kerana konsep Islam boleh menerima kebijaksanaan yang datang daripada segenap penjuru.

Sabda Rasulullah S.A.W.

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها فهو أحق بها (رواه ابن ماجه).

“Kebijaksaan itu laksana barang tercicir yang ditemui, di mana sahaja dijumpai, maka orang yang beriman paling berhak mengambilnya”. (Riwayat Ibnu Majah)

Tidakkah tamadun Islam yang telah berjaya dalam sejarahnya mengambil banyak perkara yang positif daripada Tamadun Timur dan Barat terdahulu dan menolak semua yang negatif walaupun yang diciptakan oleh masyarakat jahiliah Arab di Makkah.

Hentikan sikap prejudis terhadap Islam sehingga melabelkannya dengan gelaran yang tiada kaitan dengannya, menolak segala peluang kepada Islam di mana sahaja sehingga boleh memejamkan mata terhadap kezaliman kepada Islam dan penganutnya, melenting dengan cepat dan menuding jari terhadap Islam kalau berlaku sesuatu kegemparan.

Hentikan membuat kenyataan tanpa pengetahuan terhadap Islam yang mendedahkan kebodohan sendiri, sehingga Islam melalui ruang demokrasi juga tidak diiktiraf, adapun yang lain boleh diterima dengan apa jua cara.

PAS ada hubungan sejarah dengan orang India beragama Hindu. Apabila Presiden PAS yang kedua, Almarhum Dr. Abbas Alias menjadi pegawai perubatan pada zaman penaklukan Jepun di Tanah Melayu, beliau pernah menolong menyelamatkan seorang tawanan Jepun beragama Hindu yang telah dijatuhkan hukuman mati.

Ketika PAS pada asalnya NGO mahu ditukar kepada parti politik yang sah untuk bertanding dalam Pilihan Raya 1955 pada zaman penjajah dahulu, Dr. Abbas datang ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan, tiba-tiba orang India Hindu yang diselamatkannya dahulu ialah Timbalan Pengarah Pendaftar. Maka alangkah terkejutnya dia terserempak dengan orang yang pernah menyelamatkannya daripada tali gantung. Kebetulan bosnya orang Putih penjajah itu tidak datang ke pejabat, maka dia terus menandatangani surat pengesahan PAS menjadi parti politik.

Maka hari ini, PAS sangat menghargai undangan MIC secara langsung membuka lembaran barunya kepada PAS dengan cara terhormat, menunjukkan ada kemajuan setelah adanya di kalangan masyarakat India bukan Islam yang bersama PAS dalam sayap Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menjadi saluran hubungan PAS dengan masyarakat majmuk.

Akhirnya kita tidak harus meletakkan semua daripada kalangan bukan Islam dalam satu bakul yang sama dengan kumpulan yang bersikap prejudis terhadap Islam dan fanatik perkaumannya atau melampau. Laksanakan petunjuk Al-Quran yang menegaskan bahawa seluruh manusia itu adalah keluarga besar.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (bermasyarakat antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat: 13)

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Syaaban 1440 / 11 April 2019 – HARAKAHDAILY 11/4/2019

- Advertisement -