TH: 7 alasan perlu siasatan RCI atau PAC

- Advertisement -

MUTAKHIR ini terdapat banyak kekeliruan dan percanggahan kenyataan di pihak kerajaan dan pembangkang berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji.

- Advertisement -

Terbaharu YB Menteri telah membuat pengumuman bahawa tiada keperluan untuk diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji, walaupun ianya pernah dijanjikan oleh Pakatan Harapan di dalam Menifesto mereka dahulu.

syahir2Di sini kami menyenaraikan 7 alasan mengapa perlunya diwujudkan siasatan Diraja atau Parlimen terhadap kedudukan kewangan Tabung Haji, iaitu:

1. Manifesto Pakatan Harapan.

Di antara 10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan adalah “Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap isu 1MDB, Felda, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.” (Buku Harapan, m/s 12 item 7)

2. Surat Gabenor Bank Negara.

Pada 23 Disember 2015, Gabenor Bank Negara Malaysia telah mengutus surat kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji berhubung keperluan untuk merumus dasar rizab yang sistematik dan teguran terhadap amalan pengagihan dividen dan bonus yang tidak berhemat.

3. Pembayaran Hibah Menyalahi Akta Tabung Haji.

TH untuk 4 tahun kebelakangan telah mengagihkan Hibah yang melanggar Akta Tabung Haji. Ini adalah kerana Hibah masih diagihkan walaupun jumlah aset lebih rendah berbanding jumlah tanggungan yang mana terdiri daripada simpanan pendeposit (FAQ Hibah TH 2018).

4. Pengesahan Audit oleh Jabatan Audit Negara.

Pada 16 Julai 2018, Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji Berakhir 31 Disember 2017 telah dikemukakan bagi memberi gambaran sebenar dan saksama mengenai kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (Penyata Kewangan TH 2017).

Manakala kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji berakhir 31 Disember 2018 masih belum diaudit (FAQ Hibah TH 2018).

5. Dakwaan Kerugian Atau Defisit RM4.1 Bilion.

Berdasarkan Penyata Kewangan pada 31 Disember 2017 yang telah diaudit, jumlah aset yang dimiliki TH adalah RM70.3 bilion, berbanding nilai liabiliti, terdiri daripada jumlah simpanan deposit dan tanggungan sebanyak RM74.4 bilion. Oleh yang demikian, terdapat defisit sebanyak RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017 (FAQ Hibah TH 2018).

6. Dakwaan Kerugian RM10 Bilion Yang Disorokkan.

Ahli Parlimen PH mendakwa mereka diberi taklimat bahawa Lembaga Tabung Haji mengalami kerugian tambahan sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017, namun ia tidak dinyatakan dalam laporan kewangan badan tersebut.

Tuduhan ini adalah serius dan mencabar keabsahan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2017 dan sebelumnya.

7. Siasatan SPRM dan PDRM

Pada 30 November 2018, Lembaga Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap mantan Pengerusi, mantan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan TH, melibatkan melibatkan Program Yayasan Tabung Haji 2017 dan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95% dalam PT TH Indo Plantations.

Manakala pada 16 Januari 2019, Lembaga Tabung Haji telah membuat laporan polis berhubung penyata kewangan 2017 dan representasi pengurusan kanan TH yang membawa kepada pengisytiharan hibah yang melanggar Akta Tabung Haji.

Kesimpulannya, adalah amat wajar sekiranya diwujudkan sebuah siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa PAC Parlimen bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM dan juga Bank Negara Malaysia terhadap Tabung Haji.

Siasatan dan pelaporan ini adalah amat penting demi memperkasakan kedudukan kewangan Tabung Haji di masa hadapan, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan pentadbiran di pihak Tabung Haji.

Dalam hal ini, PAS mengulangi pendiriannya yang konsisten agar:

1. Diwujudkan sebuah siasatan bebas yang menyeluruh terhadap segala tuduhan dan percanggahan maklumat yang diberikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, seterusnya mengambil tindakan mahkamah yang sewajarnya.

2. Fokus perlu diberikan terhadap langkah pemulihan dan peranan teknokrat bagi mengembalikan keyakinan terhadap Tabung Haji, seterusnya mengangkat kedudukan Tabung Haji dan ekonomi umat Islam ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
10 April 2019 – HARAKAHDAILY 10/4/2019

- Advertisement -