Sarawak sebagai tapak peluasan kuasa DAP?

- Advertisement -
MARAH sekali Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana tidak menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen semalam bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai ‘equal partners’ dalam Malaysia.
 
Kemarahan Chong Chieng Jen ini tidak sukar untuk difahami bila kita meletakkannya dalam konteks perancangan DAP di Sarawak selaras dengan kedudukan Chong Chieng Jen selaku Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak serta selaras dengan pelbagai pernyataan pemimpin DAP mengenai perkara ini.
 
(1) Selepas mencapai prestasi membanggakan dengan memenangi 12 kerusi (berbanding 3 kerusi PKR) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 pada 16 April 2011, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan beberapa kali bahawa strategi DAP Sarawak dalam PRN Sarawak Ke-11 pada 7 Mei 2016 adalah bukan untuk memenangi pilihan raya ini tetapi adalah untuk menyediakan DAP bagi memenangi PRN Sarawak Ke-12 pada tahun 2021.
 
(2) Tatkala parti-parti komponen PH berebut untuk mengetuai PH di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, fokus DAP bukanlah untuk mengetuai negeri-negeri yang ia mempunyai pengaruh kuat di Semenanjung Malaysia seperti Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka tetapi untuk mengetuai negeri Sarawak, menyebabkan ia menerima pakai Formula 4-4-3-3 PH di mana ia mengetuai tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.
 
(3) Selepas PH menguasai Putrajaya, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, memaklumkan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak yang baru dalam Konvensyen DAP Sarawak pada 4 November 2018 bahawa misi DAP adalah untuk menguasai Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dan untuk memulakan persiapan ke arahnya, sambil menambah bahawa PH kini mempunyai kelebihan tambahan untuk menguasai Sarawak setelah ia menguasai Putrajaya.
 
(4) Selepas PH menguasai Putrajaya, Chong Chieng Jen telah siap-siap mengumumkan cadangan pembahagian kerusi yang akan DAP, PKR dan PAN tandingi dalam PRN Sarawak Ke-12 dengan menyebut pada 17 Julai 2018 bahawa kemasukan BERSATU ke Sarawak tidak akan mengubah cadangan pembahagian kerusi PH ini kerana, kata beliau, kemasukan BERSATU ke Sarawak hanyalah untuk membuka cawangan dan membantu mereka menang.
 
(5) Selaras dengan arahan Anthony Loke bahawa misi DAP adalah untuk menguasai Sarawak dalam PRN Sarawak Ke-12 dan untuk memulakan persiapan ke arahnya, Chong Chieng Jen telah mengumumkan pada 2 Februari 2019 mengenai mesyuarat PH Sarawak pada 23 Februari 2019 bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi PRN Sarawak Ke-12, di mana dalam mesyuarat ini BERSATU mendedahkan ia mempunyai 18,700 ahli di 31 cawangan. 
 
(6) Selepas PH menguasai Putrajaya, Chong Chieng Jen telah bergerak ke hadapan dengan mengumumkan cadangan ‘New Deal Agreement’ PH Sarawak yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 pada 30 Julai 2018, sebelum pun jawatankuasa khas kabinet ini ditubuhkan, dengan menyebut jawatankuasa khas kabinet ini akan mengkaji agihan kekayaan petroleum yang lebih adil dan saksama kepada negeri-negeri.
 
(7) Selepas PH bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Parlimen, Chong Chieng Jen menjadi pemimpin PH pertama yang mengesahkannya, siap dengan tarikh-tarikhnya, pada 23 Mac 2019 di samping menjadi antara pemimpin PH yang paling lantang memperjuangkan dan mempertahankannya, termasuk dengan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskannya kepada GPS pada 5 April dan 6 April 2019.
 
Dalam konteks DAP mensasarkan kemenangan PH dalam PRN Sarawak Ke-12 dan dalam konteks DAP, selaras dengan Formula 4-4-3-3 PH, mensasarkan bahawa jawatan Ketua Menteri Sarawak akan menjadi miliknya jika PH memenangi Sarawak inilah maka kemarahan Chong Chieng Jen boleh difahami.
 
Bayangkan apa yang DAP boleh lakukan bila ia, yang kini menguasai terbanyak antara parti-parti komponen PH dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, mengetuai Kerajaan Sarawak selepas PRN Sarawak Ke-12 dan bila kedudukan Sabah dan Sarawak diperkasakan, antaranya dengan agihan kekayaan petroleum yang lebih besar.
 
Kajilah balik asal-usul Projek Tanjong sehingga Pulau Pinang dapat DAP tawan. – HARAKAHDAILY 10/4/2019
- Advertisement -