Pelajar OKU dapat tawaran ke Al-Azhar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan Rabia’atul Adawiah Ruziham, 19 berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar Mesir.

- Advertisement -

Beliau menghadapi masalah penglihatan yang sempit hanya sekadar lima peratus sahaja.

Berikutan masalah itu beliau terpaksa menggunakan kanta pembesar khas ketika belajar khususnya membaca atau menyiapkan kerja sekolah.

Rabia’atul Adawiah bekas pelajar Maahad Pengajian Islam Yayasan Islam Kelantan (Yik) akan melanjut pengajian dalam pengkhususan Bahasa Arab.

Beliau memperolehi pangkat jayyid dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas.

Ketika ditemui beliau melahirkan rasa syukur kerana mendapat tawaran yang tidak diduga tersebut.

“Saya tidak sangka memperolehi pangkat jayyid, sedangkan pada peperiksaan percubaan saya gagal,” katanya ketika ditemui pada program taklimat kepada pelajar yang akan melanjut pelajaran ke Timur Tengah.

Beliau ditemani bapanya Ruziham Mahmud, 48 dan ibunya Engku Radziah Engku Ahmad, 47. – HARAKAHDAILY 9/4/2019

- Advertisement -