Terasa ‘lebih mudah’ bersama dengan Umno

- Advertisement -
KERJASAMA yang ditunjukkan ketika bergotong-royong untuk program anjuran bersama PAS-Umno Cawangan Kampung Luat, dekat sini semalam, membuktikan perpaduan dikalangan pimpinan, ahli-ahli serta para penyokong antara kedua-dua parti berkenaan di peringkat bawahan dilihat lebih mudah dapat dibentuk.
 
Penulis yang turut menjadi antara penggerak utama program itu, berpendapat antara lain adalah disebabkan kalangan pimpinan, ahli-ahli dan para penyokong kedua-dua parti mempunyai ikatan persaudaraan antara satu sama lain.
 
Selain itu ahli-ahli kedua-dua parti sudah terbiasa terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, seperti kenduri kendara, mengendalikan urusan-urusan kematian, solat berjamaah, majlis pengajian dan sebagainya.
 
Walaupun lebih 60 tahun ‘bermusuhan’, permusuhan pun hanya ketara  semasa demam pilihan raya sahaja, selepas itu hubungan dalam bermasyarakat pulih semula seperti biasa.
 
Malah penulis merasai perpaduan antara dua parti terbesar orang Islam dan Melayu ini dilihat lebih mesra dan erat berbanding dengan perpaduan yang pernah dibentuk antara PAS dan parti-parti yang bersama membentuk Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sebelum ini.
 
Perpaduan yang terbentuk dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) dulu, dirasai ada ‘perang dingin’ disebabkan oleh beberapa faktor yang biasanya PAS menjadi mangsa kepada rakan-rakan dalam pakatan.
 
Faktor paling ketara ialah hanya PAS yang ada jentera di semua peringkat, lalu terpaksa membuat kerja-kerja yang dilonggok oleh rakan sepakatan, seperti mengendalikan program-program ceramah, pemasangan lambang dan bendera parti dan sebagainya.
 
Sebaliknya, apabila ada peruntukan daripada pihak atasan parti rakan, kebanyakannya agihan yang dibuat itu tidak sampai kepada peringkat bawahan PAS, sedangkan duit PAS terkumpul dari poket ahli-ahlinya.
 
Penulis melihat perpaduan yang terbentuk antara PAS dan Umno, khususnya antara ahli-ahli peringkat akar umbi menjadi semakin erat, juga kerana kebimbangan mereka apabila Islam sebagai Agama Persekutuan semakin terancam dan orang Melayu semakin terpinggir.
 
Raja-Raja Melayu yang menjadi payung negara, tetap disanjung, dihormati dan disayangi oleh rata-rata orang Islam dan orang Melayu yang berada di dalam PAS dan Umno.
 
Keeratan perpaduan terbentuk juga adalah kerana Islam dan itu adalah faktor yang mereka rasakan paling utama, terutama oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS dan sebahagian besar ahli Umno.
 
Petang semalam, penulis turun bersama pimpinan serta ahli-ahli PAS dan Umno Cawangan Kampung Luat, bergotong royong membuat persiapan untuk program ceramah perpaduan ummah anjuran bersama.
 
Muslimat PAS dan Wanita Umno duduk bersama membuat kerja memotong bawang dan sebagainya dalam keadaan sangat mesra, manakala muslimin bantu kerja-kerja memotong daging, ikan patin dan lain-lain.
 
Pemasangan lambang dan bendera kedua-dua parti di kawasan sekitar lokasi ceramah pula dilakukan bersama-sama dalam suasana penuh ceria, di mana ketua cawangan Umno memasang lambang PAS dan begitu sebaliknya.
 
Sementara itu, ceramah perpaduan ummah anjuran bersama peringkat cawangan itu menampilkan Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
 
Pengerusi Umno Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Drs Mohd Hanafiah Idris selaku penceramah.
 
Ceramah yang diadakan pada sebelah pagi hingga makan tengahari itu, bertempat di Dewan Rakan Muda Dataran Tasik Sandarhalu, Kampung Luat. – HARAKAHDAILY 8/4/2019
IMG 20190408 WA0066
 
IMG 20190408 WA0067
 
IMG 20190408 WA0068
- Advertisement -