Peruntukan tidak cukup baiki jalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan agar Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dapat turun melakukan perjalanan darat dari Temerloh ke Kuala Lipis seterusnya Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu.

- Advertisement -

“Hal ini kerana peruntukan yang diterima tidak mencukupi untuk membaiki jalan-jalan yang rosak bagi memastikan pengguna dapat menggunakan jalan tersebut dengan selesa.

“Saya berharap agar perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kementerian,” ujar beliau semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Anuar berkata, beliau akan cuba memenuhi permintaan Ahli Parlimen Kuala Krai untuk turun ke kawasannya dan akan memastikan mereka mendapat peruntukan tambahan.

Dalam soalan asal, Abdul Latiff meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk menyelesaikan masalah kerosakan jalan utama Gua Musang-Kuala Krai yang semakin teruk termasuk garisan putih yang telah padam.

Beliau turut mempersoalkan apakah langkah untuk mengatasi masalah pencahayaan di kawasan-kawasan persimpangan utama dan kawasan tumpuan untuk mengelakkan kemalangan.

Menjawab persoalan tersebut, Anuar berkata, keutamaan akan diberikan kepada pembaikan jalan yang kritikal.

“Peruntukan tambahan akan disalurkan lagi oleh Kementerian Kewangan secara berperingkat tertakluk kepada kemampuan kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/4/2019

- Advertisement -