PAS-Umno: Salahuddin, kenapa bimbang sangat?

- Advertisement -
LENGGONG: Timbalan Presiden PAN, Dato’ Salahuddin Ayub tidak perlu bimbang terhadap kerjasama PAS dan Umno, sebaliknya layak merasa gembira kerana tuduhan pihak-pihak tertentu sebelum ini mengenai perkara itu telah ‘terbukti’ benar.
 
Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, Salahuddin juga sepatutnya berbangga dengan perkara yang berlaku antara PAS dan Umno sekarang ini telah menjadi kenyataan, sekali gus membenarkan tuduhan dibuat pihak-pihak tertentu sebelum ini.
 
Menurutnya, bekas Naib Presiden PAS itu bahkan harus merasa hebat untuk menyatakan kepada rakyat bahawa mereka tidak rasis dan menjadi sebahagian orang yang berjuang untuk menjadikan negara ini sebagai Malaysian Malaysia sepertimana dikehendaki DAP.
 
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tuduhan Salahuddin mengenai penyatuan PAS dan Umno hanya akan menyemarakkan lagi politik perkauman sepertimana dilapor media semalam.
 
Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, Salahuddin patut menjelaskan kepada rakyat, oleh kerana perjuangan mereka tidak rasis maka mereka turut sama memperjuangkan ICERD. 
 
Ujarnya, mereka boleh mendabik dada mengaku telah berjuang supaya semua kaum di negara ini diberi taraf sama rata dan kontrak sosial empat teras Perlembagaan Malaysia yang didokong selama ini tidak lagi relevan.
 
Sebagai mempertahan keputusan bekerjasama antara PAS dan Umno, Razman menegaskan bahawa perpaduan yang dibentuk akhir-akhir ini semakin kukuh dan sama sekali tidak berasaskan perkauman sepertimana tuduhan pihak-pihak tertentu.
 
Jelas beliau, sekiranya atas dasar perkauman sudah tentu DHPP tidak bersetuju, malah MIC juga akan membantah keras, sebaliknya parti komponen BN itu bersetuju dengan PAS.
 
“Kerjasama PAS dan Umno dibentuk bukan perkauman, tetapi kerana kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu di negara ini semakin terancam.
 
“PAS yang memerintah Kelantan selama ini dan memerintah Terengganu, tidak pernah pun menindas kaum kain,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2019
- Advertisement -