Islam memimpin ummah sejahtera

- Advertisement -
ISLAM adalah syumul yang lengkap segala-galanya dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia khususnya dan alam ciptaan Allah S.W.T umumnya. Ilmu agama mesti dipelajari dan diamalkan agar menjadi pedoman kehidupan di dunia seterusnya menjamin kehidupan yang baik di akhirat yang kekal abadi. 
 
Solat dan pembudayaan ilmu
 
Solat berjemaah menjadi asas kekuatan ummah dan menjadikan kita saling hormat menghormati sesama kita. Marilah sama-sama kita terus mengimarahkan masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu khususnya di Masjid atau Surau dalam kawasan Tambun melalui Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Asar, Kuliah Maghrib serta termasuklah Kuliah Khas Muslimat bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
 
Dalam pada itu, pihak berautoriti khususnya majikan di tempat kerja termasuklah pihak industri boleh berperanan dalam menyediakan ruang solat yang selesa dan memperuntukan masa untuk pembudayaan ilmu khususnya berkaitan Islam dan Moral menjadi salah satu aspek pembangunan manusia yang lebih beretika dan berakhlak mulia. Sudah pasti memberi manfaat yang besar kepada organisasi dan masyarakat. 
 
Di samping itu, keterlibatan anggota masyarakat setempat juga yang sentiasa bertemu dalam suasana harmoni, pastinya akan memperkukuh silaturrahim melalui semangat kejiranan dan sikap berdamai antara satu sama lain. Ianya sangat disarankan oleh Rasulullah SA..W dalam banyak riwayat hadis. Ianya akan turut memberi impak positif kepada keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Begitu juga organisasi masyarakat sama ada persatuan penduduk, jawatankuasa Masjid dan Surau, mahu pun parti-parti politik mampu merencanakan suatu halaju yang jelas dalam memastikan kehidupan ummah sejahtera.
 
Agenda Penyatuan Ummah
 
Firman Allah SWT dalan surah surah Al-Anbiya’ ayat 92,
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku”.
 
Maka, atas dasar itu, Islam adalah paksi kepada penyatuan ummah dengan berpandukan kepada perintah dan larangan Allah SWT dalam Al-Qur’an sebagai garis panduannya.
 
Perkembangan mutakhir ini, PAS berta’awun dengan Umno bagi penyatuan ummah tidak timbul soal PAS ikut Umno atau Umno ikut PAS, tetapi asasnya adalah Islam yang mesti diikuti keseluruhannya. Tanpa Islam, maka tiadalah kerjasama tersebut. 
 
Bertepatan dengan gagasan pimpinan tertinggi PAS di bawah nakhoda Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, PAS Tambun melalui akar umbi terus menggerakkan agenda besar ini dalam memastikan Islam Memimpin. Malah kami memulakan langkah melalui siri pemahaman kepada ahli dan mengenengahkan kepada masyarakat dengan mendidik hati dan jiwa manusia.
 
Ramadan: Syiar dan Syariat
 
“Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Sya’aban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadan”.
 
Menjelang tiba bulan mulia yang menjadi madrasah kehidupan terdapat di dalamnya banyak hikmahnya. Ambillah peluang sebaiknya yang terhidang buat setiap Muslim khususnya dalam memastikan ekonomi Islam terus unggul melalui zakat, sedeqah dan wakaf. Pastinya ganjaran berlipat kali ganda sebagaimana dijanjikan Allah S.W.T dalan banyak ayat Al-Qur’anul Karim.
 
Tanggungjawab mendidik generasi masa depan dan  membangun negara adalah tanggungjawab bersama.  Ayuh bersama-sama kami Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Tambun dalam menggerakkan agenda Dakwah, Tarbiyah dan Siasah untuk Tambun Sejahtera.
 
“Islam Memimpin”
“Sejahtera Bersama Islam”
 
USTAZ SALLEH SAID
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun
merangkap Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak
8 April 2019 | 2 Syaaban 1440 – HARAKAHDAILY 8/4/2019
IMG 20190408 WA0032
- Advertisement -