PASTI K. Kangsar, Tambun bolot Johan dan Naib

- Advertisement -
TAMBUN: Pesta Sukan PASTI Zon 2 Negeri Perak melibatkan Kawasan Tambun, Gopeng, Ipoh Barat, Tanjung Malim, Kampar, Tapah dan Kuala Kangsar  telah berlangsung meriah di Extreme Park, di sini.
 
Gimik pembukaan menarik menyaksikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri selaku perasmi muncul sebagai penjaga gol menghadapi sepakan penalti pemain cilik PASTI.
 
Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan pendidikan awal yang diusahakan PAS itu tidak tertumpu hanya kepada akademik, tetapi juga aspek keseimbangan lain, termasuk sukan.
 
Menurutnya, usaha pendidikan itu terus mengorak langkah dengan memperkenalkan peringkat rendah dan menengah iaitu SRITI dan SMITI, sekali gus menuntut sokongan semua pihak.
 
Keputusan melibatkan lapan PASTI Kawasan itu bagi acara bola sepak dimenangi Kuala Kangsar, diikuti tempat kedua Tambun, manakala ketiga Tanjung Malim dan keempat Gopeng.
 
Sementara bagi keputusan acara bola jaring dijuarai oleh PASTI Kawasan Tambun, tempat kedua Kuala Kangsar, manakala ketiga dan keempat Tanjung Malim dan Kampar.
 
Dengan itu menyaksikan PASTI Tambun dan Kuala Kangsar yang mengungguli kedua-kedua acara selaku Johan dan Naib Johan layak ke peringkat negeri di Kuala Kangsar, 13 April depan. – HARAKAHDAILY 7/4/2019
- Advertisement -