Siku dan lutut politik (11)

image
- Advertisement -

●     PAN Terengganu cuba bermain sentimen kebencian dengan menuduh secara membuta tuli Kerajaan Terengganu melalui kuasa politik telah mengarahkan satu ceramah oleh Dr Mohd Afendi Salleh aktivis Palestin dan juga pensyarah Unisza, berkaitan isu Palestin yang sepatutnya diadakan di Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar. PAN yang cuba menangguk di air yang keruh, sekeruh hati mereka, melalui pemudanya, segera mengeluarkan kenyataan rasmi membina persepsi bahawa Kerajaan Terengganu menggunakan campur tangan politik.

- Advertisement -

Aku percaya, PAS tidak terlalu obses untuk menjawab pertuduhan PAN yang tiada dilihat jasa mereka, kecuali menjadi khadam setia DAP. Tetapi ianya lebih mengecewakan apabila Dr Afendi secara tiba-tiba bersilat sehingga terselak kainnya dengan menuduh ia adalah arahan politik, atas keyakinan beliau kepada sumber yang boleh dipercayai. Dia segera membangkitkan persepsi yang mungkin kerana dia bukan ahli PAS (memang orang tahu dia Ikram) oleh itu pembatalan diarahkan.

Dia membangkitkan lagi bahawa dia telah berkali-kali pergi ke Gaza dan terus bermegah bahawa dia hampir mati pada misi terakhirnya, (bagaikan tuhan tidak tahu dia ke sana). Rasa macam lebih hebat dari Sallehuddin al-Ayubi ke? Sama pula macam Husam Musa solat dalam opis, terpaksa tunjuk yang dia pun solat. Tidak puas dengan itu Dr Afendi terus mengungkit yang dia telah benarkan ahli politik menggunakan universiti. Masih menyindir, dia kemudiannya memaklumkan bahawa dia juga tidak menghalang beberapa pelajar Unisza hadir ke Masjid Abidin atas permintaan jawatankuasa masjid. Maaf, jika isu masuk Gaza, aku ada kenal ramai yang masuk dan bantu rakyat Gaza, tapi mereka diamkan sahaja. Mungkin takut terbatal pahala sebab ujub dan riak.

Exco Dakwah Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menjawab, tiada arahan dari sesiapa, sila tunjuk surat arahan pembatalan itu dan pegawai mana yang arahkan. Sayang, kerana Ikram bencikan PAS, Dr Afandi sanggup menularkan isu yang tidak pasti melalui FB, disambut oleh PAN yang kelaparan isu dan kemudiannya diam membisu selepas diminta Exco berkongsi maklumat itu. Bagi aku, Dr Afandi Ikram tegar, yang diketahui selalu mengutuk Presiden PAS itu, yang sebenarnya cuba bermain politik, tiada modal. Kerajaan Terengganu tiada isu untuk dikutuk, jadi, timbulkan isu.

●     PM Tun Mahathir menolak untuk menandatangani Statut Rom, satu isu yang besar yang telah didedahkan oleh pembangkang yang akan membabitkan beberapa isu sensitif dalam negara. Katanya Tun, Malaysia hanya boleh menerima perkara yang baik-baik sahaja tetapi bukan hal seperti kebenaran perkahwinan sejenis.

Kita sokong penarikan balik ini oleh PM. Ia akan memberikan kesan yang tidak baik kepada negara. Kita tahu siapa di belakang yang sangat mahukan hal ini. Harap mereka faham akan komen Tun yang beliau sebut, ada usaha untuk menjatuhkan, menconteng arang ke muka beliau. Siti Kassim sudah menyatakan kekecewaannya kepada Kerajaan PH. Tapi hati-hati semua, mungkin ini helah Siti sebab nanti dia pura-pura kecewa dan nyatakan sokongan kepada pembangkang pula, lalu rakyat akan membenci pembangkang sebab bila tengok Siti, rakyat ingat pembangkang. Sanggup ke? Penat kita nanti.

●     Kerajaan Terengganu akan meneruskan pembayaran bil wad kelas 3 kepada rakyatnya. Sebelum ini manifesto itu seperti tidak dapat dilaksanakan kerana Kementerian Kesihatan khabarnya menolak cadangan itu atas beberapa alasan yang dikira akan memberikan impak kepada pengurusan KKM.

Namun Kerajaan Terengganu tetap akan melaksanakan janji itu kerana masalah yang timbul adalah masalah birokrasi sahaja. Malah Terengganu akan menyediakan pegawai bagi membantu KKM untuk melaksanakan hal ini. Terengganu memang Nellang orang kata jangan, tapi sebab dah janji, ia akan diteruskan. Takutlah kepada Allah bila kita dah janji. Inilah sikap yang Islam mahu.

●     TH telah mengumumkan hibah tahun ini. Ianya hanya 1.25 peratus terendah selepas puluhan tahun. Seperti yang dijangkakan, BN menjadi ‘punching bag’ oleh PH bagi memberikan justifikasi kepada keadaan itu. Namun rakyat bukan bodoh, pelbagai persoalan yang dilemparkan kembali. Antaranya ialah kenapa tiada pertuduhan selepas mendakwa pengurusan terdahulu membuat onar dalam TH?

Mengapa pula ketika dikatakan rugi dahulu TH masih boleh membayar hibah dengan lebih tinggi. Mengapa dahulu dikutuk kalau hibah kurang sedikit, tetapi suruh rakyat bersabar bila hibah berkurang dengan banyak? Begitulah double standard, dan rakyat mahukan jawapan. Namun begitu, nasihat daripada pakar-pakar kewangan Islam, supaya jangan dikeluarkan semua wang dari TH, patut diterima oleh rakyat. TH adalah maruah umat Islam. Tetapi kita ramai-ramai keluarkan PH dari kerajaan.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
6 April 2019 – HARAKAHDAILY 6/4/2019

- Advertisement -