PRK Rantau: Mungkinkah PH kalah lagi?

- Advertisement -

SEJAK hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dun Rantau, PH dan SPR dilihat seakan cemas dan kalut mendepani suasana kempen khususnya apabila ramai dalam kalangan penduduk di sini diberi amaran agar tidak turut bersama menganjurkan program kempen.

- Advertisement -

“Kawalan ketat” itu lebih ketara ke atas program kempen yang dianjurkan untuk calon-calon pembangkang BN dan bebas.

Apakah ada semacam satu tekanan kepada pengundi di sini agar tidak memberi sokongan kepada pembangkang khasnya calon BN, Dato’ Seri Utama Mohammad Hasan atau apakah pertimbangan tersirat sebaliknya?

Dari dua rekod PRK terdahulu menunjukkan kekalahan teruk PH di mana di PRK Cameron Highlands, aura Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang mahupun Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu langsung tidak berjaya menambat hati pengundi khasnya Orang Asal, walaupun umum tahu biasanya Orang Asal lebih selesa mengundi calon yang mewakili parti kerajaan pusat.

Di PRK Cameron Highlands ia berbeza, dan lebih berat lagi kekalahan calon anak muda Bersatu, Mohammad Aiman Zainuli kepada calon BN di PRK Semenyih walaupun Selangor dan Kerajaan Pusat dikuasai PH kesemuanya.

Kekalahan itu disifatkan suatu yang sangat mengejutkan malah dikaitkan pula dengan faktor penolakan rakyat ke atas PH secara terang-terangan akibat tidak menunaikan janji manifesto PRU14.

Lebih dari itu terdapat aksi balas dendam oleh komponen PH iaitu DAP dan PKR atas kekalahan calon DAP di PRK Cameron Highlands yang dikaitkan dengan aksi spontan PM seolah-olah memberi signal kepada rakyat di sana menolak calon DAP.

Kita dapat lihat semua faktor ini dan kini aksi di Rantau pula memperlihatkan demikian juga apabila sebelum PRK lagi, ramai dalam kalangan anak muda Bersatu di sini awal-awal lagi memberi amaran PH tidak boleh meletak calon luar bertanding di Rantau.

Calon PKR, Dr Streram bukanlah orang yang berasal dari Rantau mahupun Negeri Sembilan. Kelibatnya di sini tidakpun mendapat sambutan, malah beberapa ranting PKR dan cawangan Bersatu di sini menolak pencalonan Streram apatah lagi masih ramai anak tempatan yang layak dicalonkan dan sebenarnya lebih wibawa.

Asalnya Anwar mahu meletakkan ayam sabungnya, Rafizi Ramli di Rantau, ia sebagai langkah mahu menjadikan Rafizi sebagai proksinya di negeri Adat Perpatih ini.

Namun selepas mendapat tentangan hebat khasnya oleh Muafakat Anak Muda Negeri Sembilan yang diketuai Megat Muhammad Faris Megat Ismail yang saban hari menyerang cadangan Anwar itu, maka hasrat Anwar terbantut seketika tetapi nafsu buasnya dalam politik memungkinkan episod baharu di tempat lain akan berlaku pula.

Tiga calon merupakan orang tempatan iaitu Dato’ Seri Mohamad Hasan dari BN, R Malarvizhi, Mohd Nor Yassin, calon bebas.

Manakala Pakatan Harapan telah memilih calon bukan orang tempatan iaitu Dr Streram Sinnasamy yang juga Naib Ketua PKR cabang Rembau.

Salah seorang dari keempat-empat calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau ini bakal dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau yang akan ditentukan pada hari pengundian iaitu hari mengundi awal 9 April dan hari mengundi biasa pada 13 April nanti.

PRK N.27 terpaksa diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Ramai melihat perang Rantau kali ini episod sama di mana Anwar akan cuba menghalang sebarang gerak-geri Tun Dr Mahathir Mohamad, apatah lagi Anwar tahu hubungan akrab Tok Mat dengan Mahathir.

Tok Mat yang sedang memangku tugas mengendali Umno telah menyatakan ketegasan menyokong Tun Mahathir sebagai PM hingga PRU15. Dia senada dengan PAS sejak beberapa pertemuan lalu.

Malah boleh dilihat kerjasama ummah antara PAS-Umno yang diusahakan di bawah kepimpinan Tok Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang semacam satu formula hebat menggerak momentum rakyat menolak kebobrokan kerajaan PH yang diperkudakan DAP.

Di Rantau, PAS menunjukkan sokongan padu kepada Tok Mat apatah lagi aura bekas MB Negeri Sembilan itu di sini amat terasa bahangnya. Bak kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad “Tok Mat ini sudah terkenal dan sangat dikenali”.

Aura Tok Mat dikatakan sangat mencemaskan kem PH, malah tekanan demi tekanan dikenakan bagi menyentap aura Tok Mat walaupun calon PH bebas bergerak ke mana sahaja.

Apakah sekatan ini berjaya menghentikan momentum rakyat menolak PH atau ia sekali lagi akan membuatkan rakyat berdendam dengan PH sekali gus menolak terus PH hingga PRU15?

53 peratus pengundi Melayu dan selebihnya bukan Melayu bakal menentukan kedudukan siapa bakal dipilih sebagai Adun Rantau.

Mengikut tradisinya sejak 2004, Rantau adalah kubu kuat Tok Mat, kerana sokongan ke atasnya bukan sahaja dari kalangan orang Melayu, bahkan dari kalangan bukan Melayu sekalipun.

Apa pun Sabtu minggu depan, segala persoalan ini bakal terjawab, sama-sama kita saksikan. – HARAKAHDAILY 5/4/2019

t1

t2

t3

- Advertisement -