Usul batal sempadan, PRU14 jadi tidak sah?

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bertindak mengikut kuasa diberikan oleh Perlembagaan dan Akta berkaitan tugasnya di mana Pengerusi SPR pula boleh bertindak atas isu yang menyentuh tugasnya.
 
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusof berkata, mengenai isu persempadanan, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusannya yang jelas sepertimana Jadual Ke-13.
 
Sementara menurutnya, kuasa SPR juga dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 113(2)(i) iaitu kuasa mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya dalam tempoh tidak kurang lapan tahun.
 
“Kajian persempadanan yang diluluskan selepas Mac 2018 telah mematuhi kuasa-kuasa yang diberikan Perlembagaan. Maka tidak sepatutnya SPR mengusulkan untuk Parlimen membatalkan apa yang telah diluluskan oleh Parlimen.
 
“Jika usul membatalkan dibawa, seolah-olah urusan persempadanan sebelum ni tidak sah. Jika sempadan tidak sah, maka PRU14 tidak sah juga. Maka ini keadaannya akan lebih kalut. Justeru, ia tidak sepatutnya dijadikan isu sekarang.
 
“SPR tidak perlu layan pandang sisi politik pemimpin PH yang mula dibenci rakyat dalam banyak isu negara dan rakyat,” ujar beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.
 
Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedang mengkaji sama ada Parlimen boleh membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat sebelum PRU14. 
 
Menurut beliau, sekiranya perubahan dibuat oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak itu boleh dibatalkan, maka persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baharu boleh dibuat sebelum PRU15.
 
Jelasnya, SPR memiliki tempoh tidak lebih dua tahun bagi mengkaji dan membuat cadangan meminda persempadanan semula yang dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk dilaksanakan kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 2/4/2019
- Advertisement -