Perpaduan: Pastikan T’ganu paling harmoni

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu melahirkan rasa sukacita baginda dengan kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kerana berjaya mengamalkan konsep kepimpinan yang matang dan sejahtera.

- Advertisement -

Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bertitah, semangat perpaduan yang ditonjolkan di kalangan rakyat menjadikan negeri ini paling harmoni di negara ini.

“Beta melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat beta, tanpa mengira mana-mana parti telah terserlah demi memastikan negeri Terengganu Darul Iman, menjadi negeri yang paling harmoni di negara ini.

“Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri.

“Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain,” titah Tuanku Sultan Mizan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sultan Mizan turut melahirkan rasa kerisauan baginda dengan perkara yang sedang berlaku dan dilihat ada pihak tertentu cuba menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan negara.

Menurut Tuanku Sultan, ada pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam dan memperlekehkan Institusi DiRaja.

“Beta mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara yang seperti itu tidak menular di negeri ini,” tegas baginda. – HARAKAHDAILY 1/4/2019

- Advertisement -