PAS Beruas laksana tanggungjawab dimandat

- Advertisement -
BERUAS: PAS Kawasan Beruas telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-55 yang diadakan di Dewan Masjid An-Nawawi, Pengkalan Baru, di sini semalam.
 
Dihadiri 109 perwakilan, selain pemerhati, majlis disemarakkan dengan alunan Negaraku dan lagu rasmi PAS, diikuti pembukaan dengan bacaan ayat suci al-Quran.
 
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang banyak memberikan amanat penting berkaitan isu semasa.
 
Dalam ucapannya, beliau menerangkan PAS sebagai parti Hizbullah yang semestinya berlandaskan konsep lqra‘ yakni membaca dan Mudathtsir yakni bangun berjuang. 
 
“Sebagai parti yang tertua di tanah air ini, para ulamak merupakan lampu suluh dalam PAS yang dipilih oleh Allah sebagaimana jua ahli-ahli pejuang dari akar umbi juga dipilih oleh Allah. Tetapi pemimpin-pemimpin dipilih oleh ahli. Sebab itu apabila ada pemimpin yang lari, parti PAS tidak jatuh,” ujarnya. 
 
Sambungnya lagi Majlis Syura Ulamak yang bertanggungjawab memulakan kajian dan seterus membenarkan Ta’awun atau kerjasama PAS dan Umno.
 
Katanya, pihak yang membuat masalah sekarang ialah PH, sedangkan kejahatan Umno telah berlalu dan perbuatan PAS memaafkan Umno mendapat ganjaran pahala amat besar di sisi Allah. 
 
Sementara itu Yang DiPertua PAS Beruas, Zakaria Hashim mengingatkan ahli yang hadir supaya menerima jawatan diamanahkan dengan bertekad bekerja bersungguh-sungguh mencari keredhaan Allah saja. 
 
Beliau menuntut keazaman kuat daripada seluruh ahli untuk membantu PAS Kawasan dalam mendirikan bangunan Pusat Tarbiah PAS Kawasan Beruas nanti. 
 
Sejarah tercipta dalam pemilihan kali ini apabila semua jawatan kecuali Naib Yang DiPertua telah diumumkan menang tanpa bertanding termasuk Hashim untuk kali kedua berturut-turut.
 
Pemilihan tersebut telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS Negeri Perak yang diketuai oleh Osman Mat dari PAS Kawasan Bukit Gantang. – HARAKAHDAILY 1/4/2019
20190401 113116
- Advertisement -