UEC: Maszlee dan Nie Ching saling bercanggah

- Advertisement -
GERAKAN Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) berasa kecewa dengan sikap Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan melahirkan rasa kesal serta dukacita dengan kenyataannya yang mengucapkan tahniah dengan keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas, berikutan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.
 
Apa yang lebih menyedihkan lagi tindakan Tommy Thomas membenarkan LKPUM mengiktiraf UEC setaraf dengan STPM dan A-Levels bermakna seseorang yang lulus UEC boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) dan seterusnya berkhidmat sebagai peguam selepas memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.
 
Ini bermakna kita bakal menyaksikan para peguam yang berkelulusan UEC ini suatu hari nanti  bakal beraksi di Mahkamah Persekutuan sedangkan lulusan ini datang dari aliran yang berbeza yang diragui keabsahannya dalam persada pendidikan negara.
 
Semalam, Tommy dalam kenyataan memaklumkan PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk bermula 1 Januari 2021.
 
Sebelum ini tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia membuka permohonan calon perguruan kepada pemegang Sijil UEC adalah bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sangat kami kesali.
 
Kenyataan ini bercanggah, sebab dalam proses UEC masih dibuat kajian dan akan diserahkan Julai 2019, tetapi mengapa KPM tergesa-gesa dan seakan terdesak mengumumkan bahawa permohonan calon perguruan bagi pemegang sijil UEC boleh diterima masuk ke kampus IPG?
 
Sepatutnya KPM mesti menangguhkan apa sahaja keputusan berkaitan UEC ini. Ini bermakna seolah-olah Unit Kajian Dasar yang diwujudkan tidak berfungsi dan tidak diiktiraf oleh kerajaan.
 
Kami juga meragui individu yang menganggotai jawatankuasa pasukan kajian dasar ini kerana seolah-olah berkepentingan berasaskan komitmen mereka dalam organisasi yang selama ini berpihak kepada UEC.
 
Asas PENDIDIK adalah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) tidak berada dalam sistem dari segi 3 seksyen, iaitu 15, 17 dan 18 dalam Akta Pendidikan Negara 1996. Oleh itu, UEC daripada SMPC tidak boleh sesekali diterima untuk pengiktirafan ke IPTA dan atau ke dalam sektor pekerjaan awam.
 
Di mana UEC mewakili hanya 15 peratus daripada keseluruhan pelajar di Malaysia. Sebab itu KPM sepatutnya tidak perlu melayan tuntutan mereka berdasarkan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1996 ini.
 
Dalam sidang Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia, Mazlee Malek berkata KPM masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengiktiraf UEC atau tidak, kerana masih menunggu laporan kajian dari Pasukan Unit Kajian Dasar yang diwujudkan untuk mengkaji pandangan tokoh akademik NGO, dan lain-lain agensi serta parti politik sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan pengiktirafan UEC ini.
 
Justeru, PENDIDIK berharap Teo Ni Ching jangan ibarat lebih sudu dari kuah dan bersikap mendahului pengumuman Menteri Pendidikan Malaysia sendiri sekali gus menggambarkan percanggahan kenyataan antara Menteri Pendidikan dengan status beliau sebagai Timbalan Menteri yang akhirnya akan menjejaskan integriti dan kredibiliti kedua-dia menteri dalam KPM itu sendiri.
 
NORMALA SUDIRMAN
Presiden
Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)
- Advertisement -