PAS-Umno: Apa, kenapa, bagaimana, ke mana?

- Advertisement -
TAPAH: Perjuangan PAS meninggikan agama Allah adalah usaha menegakkan kebenaran yang sunnatullahnya pasti menguji keimanan sebagaimana dinyatakan Allah pada ayat 110 surah Ali Imran.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, namun memilih kebenaran bermakna akan menemui pelbagai ujian, halangan dan kesusahan di mana fitrah itu dinyatakan dalam ayat 4 surah al-Balad.
 
Pemahaman dan motivasi itu dikupasnya ketika berucap menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tapah yang dilangsungkan di Kompleks Tarbiyah PAS, Kampung Cahaya Muda, Jalan Bidor, di sini semalam.
 
Pun begitu jelasnya, Allah memimpin dengan ayat 10 surah al-Muzammil menyeru supaya berhadapan ujian dengan sabar kerana memilih kebenaran akan menatijahkan kebaikan berbanding mereka yang mengkhianati kebenaran.
 
Menurut beliau, para Nabi adalah utusan Allah yang paling mulia dan mendukung tugas perjuangan, tetapi paling susah serta banyak diuji di mana bezanya, Allah pada ayat 48 surah at-Thur memberi jaminan keselamatan khusus kepada mereka.
 
“Kita (pula) tidak mampu menanggung kesusahan beragama tanpa sabar kerana ia ada kaitan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah. (Walhal) Agama akan kekal dalam diri kita apabila kita ingin berubah (berjuang dan menghadapi ujian). Perumpamaannya seperti orang yang jatuh dalam lubang. 
 
“Sekiranya dia ingin kekal di dalam lubang, maka tiada apa yang mampu mengubahnya. Tetapi jika dia ingin berusaha keluar dari lubang dan mengubati dirinya, itu sudah cukup menunjukkan dia faham mengenai konsep ujian dan kehidupan,” jelasnya.
 
Beliau mengaitkan perubahan itu dengan hubungan PAS-Umno yang keduanya telah terpisah sejak 40 tahun lalu dari tahun 1978 di mana sangat menuntut berubah dengan keutamaan kepada menjaga agama.
 
Kerana tegasnya, Islam adalah agama yang menjanjikan kemenangan, sedangkan kekalahan adalah fenomena dihadapi dalam perjalanan itu dengan ujian tersebut telahpun ditunjukkan Allah kepada Umno dan PAS.
 
Beliau merujuk kejutan besar PRU14 iaitu kejatuhan Umno selepas 61 tahun memerintah Malaysia, manakala PAS pula tidak berjaya ke Putrajaya walaupun menjadi parti paling lama menentang Umno.
 
Tetapi katanya, PAS dan Umno tidak akan mampu menghadapi PH secara masing-masing bersendirian walaupun penuh kekuatan kerana tunggak asal kedua pihak adalah Islam.
 
Di mana hurai beliau, kekuatan atas nama Islam tersusun mengikut urutan dari akidah, ukhuwah dan seterusnya jihad atau politik, sekali gus bermakna PAS dan Umno mesti memulakan dengan kekuatan pertama dan kedua.
 
Terang Ahli Parlimen Bachok itu, dengan kekuatan akidah dan ukhuwah, maka PAS dan Umno boleh menjana kekuatan jihad dan politik, di mana selama ini itulah kekuatan yang menjadi rahsia kekuatan akar umbi PAS tidak tercabut.
 
Demikian itu tegas beliau, kerjasama PAS dan Umno adalah benih baharu dalam lanskap politik Malaysia yang perlu dimanfaatkan semaksima mungkin bagi menjulang syariat Allah di bumi tercinta ini. – HARAKAHDAILY 31/3/2019
IMG 20190331 WA0016
- Advertisement -