Siku dan lutut politik (9)

- Advertisement -

●     PAS melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat MIC. Kata Presiden PAS lagi, MIC diibaratkan sebagai keluarga. Pernah sama-sama berjuang untuk kemerdekaan Malaysia. Islam juga kata Presiden PAS tidak membezakan warna kulit, bangsa, agama dalam kehidupan dunia ini. Kita semua adalah makhluk Allah. TGHH turut mengatakan al-Quran tidak menghalang bukan Islam turut menjadi pimpinan masyarakat, tetapi ia tertakluk juga dengan kehendak Islam, setakat mana ia dibenarkan. Sekarang PAS sedang membuka pintu perdamaian dengan MCA pula.

- Advertisement -

PAS secara terus terang, hanya mahukan kerjasama dengan Umno untuk kepentingan Melayu Islam, bangsa teras di Malaysia tetapi dalam masa yang sama, memahami akan Umno yang mempunyai kembar, MCA dan MIC. Jadi tiada salahnya menjemput sama-sama kedua parti terbesar mewakili bangsa masing-masing bagi menumbangkan PH, dengan mengutamakan isu rakyat, jika MCA mahu selepas MIC telah bersetuju.

Sama tindakan ini ketika PAS mahu berkerjasama dengan DAP dahulu, ia kerana keuntungan kepada agama. Jadi sangat benar kenyataan Presiden PAS bahawa politik ini sangat fleksibel. Boleh berubah fekahnya bila-bila masa. Dan PAS memilih untuk merubah pendekatan hanya apabila menguntungkan Islam. Dan PAS selalu mendapat laba atas kerjasama politik. Tak percaya? Tengok keahlian PAS, semakin bertambah, semakin bertambah, menokok melebihi parti lain selepas kerjasama terbentuk.

     Brunei telah mengumumkan akan melaksanakan hukuman Hudud yang ditangguhkan lebih kurang lima tahun lalu atas sebab tekanan dunia. Keputusan ini juga termasuk hukuman rejam dan sebat. Seluruh pembenci Islam, menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan itu. Mereka mengajak untuk memboikot, menggunakan kuasa dan apa sahaja bagi memberi tekanan kepada Brunei.

Brunei telah dipilih Allah untuk melaksanakan hukuman Allah ini. Mereka tidak mempunyai sejarah yang kuat berkaitan Islam, tetapi itu bukan satu alasan. Ketika aku ke Brunei atas lawatan untuk mengetahui tentang proses membentuk Undang-undang Hudud ini pada tahun 2013, beberapa pegawai agama memberitahu yang mereka pernah belajar di sekolah agama di Terengganu. Jauhnya perjalanan mereka mencari ilmu. Dan lebih membanggakan, Terengganu antara destinasi mereka mencari ilmu. Semoga Brunei kuat menghadapi tekanan ini serta berjaya dan semoga Terengganu pula mendapat manfaat daripada Brunei.

     Taiwan rancang untuk kenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk. Setakat ini dikhabarkan banyak kes langgar mati oleh kerana pengaruh alkohol. Hukuman maksima langgar mati di Taiwan ialah 10 tahun penjara yang dikatakan tidak mencukupi. Maka cadangan ini adalah munasabah bagi mengurangkan kematian.

Isu ini menunjukkan bahawa kebenaran Islam ribuan tahun dulu yang mengatakan arak ini adalah perosak. Rasulullah berpesan, arak itu ibu segala maksiat. PAS, sangat memahami akan kehendak yang Allah mahukan, maka PAS ketika memerintah negeri dengan kuasa dua pertiga, telah menghadkan penjualan arak sebab arak tidak sama dengan judi.

Tetapi apabila teringatkan cerita almarhum TGNA yang isteri-isteri kaum Cina mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana suami-suami mereka tidak lagi mabuk dan berjudi, kita faham perasaan mereka. Hanya golongan gila sahaja yang kemaruk mahu mengadakan pesta minum arak. Apa lagi kalau yang menyokong itu dari kalangan yang mengaku Islam.

     Bakal calon PKR Dun Rantau Dr Streram berkata MIC adalah dalang atas kekecohan yang berlaku apabila seorang lelaki India yang juga ketua ranting Taman Cempaka, Rantau diserang oleh lelaki India yang lain yang dikenali mangsa. Dia ditetak menggunakan parang oleh penyerang. Kata Streram, ini adalah kerana BN takut kalah dalam PRK Rantau nanti. Apabila ditanya lanjut, Streram berkata penyerang ‘disyaki’ sebagai anggota MIC.

Berita sebegini mengingatkan kita kepada kempen PH pada PRU yang lalu. Kempen fitnah dulu, baru diam kalau salah. Apa-apa pun, mesti tuduh dulu. Begitulah perangai mereka. Apabila disyaki, terus betul. Jadi tertuduh pula yang kena membela diri atas tuduhan yang tak tahu hujung pangkal. Begitulah cara mereka yang terdesak. Apatah lagi setelah MIC setuju berkerjasama dengan PAS. Lagilah sakit hati mereka.

Oh, sebelum lupa, Ahli Parlimen Miri, secara tiba-tiba memberikan sumbangan makanan kepada lima buah sekolah di sekitar Dun Rantau, dengan jumlah sebanyak RM75 ribu. Nanti takut ada yang tolong jawab, ia sememangnya sudah dirancang lama sebelum PRK. Bukti PH lebih teruk dari BN.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar – HARAKAHDAILY 2/4/2019

- Advertisement -