Munajat moga SAR temui mangsa hilang GUT

- Advertisement -
GOPENG: Semangat dan harapan terus disuntik agar Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) yang dilaporkan hilang segera ditemui dalam keadaan selamat.
 
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng juga berterusan mengadakan majlis bacaan Yaasiin dan solat sunat hajat yang dilangsungkan di Kampung Pintu Padang, di sini.
 
Inisiatif munajat berdekatan tapak operasi tersebut diadakan dengan kerjasama Masjid Lama Gopeng yang dipimpin oleh Imam Kamalullail Shaari dan Ustaz Ahmad Awang, semalam.
 
Penduduk setempat turut menzahirkan solidariti dengan hadir sama mengimarahkan bacaan Yaasiin dan solat berjamaah, selain turut serta anggota Jabatan Amal dan Alternative Riding Club.
 
Sementara itu rakan mangsa, Muhd Farid Mat Kamal hadir mewakili keluarga merakamkan penghargaan dan harapan agar usaha tersebut akan menemui Mohammad Ashraf Hassan.
 
Ashraf dilaporkan hilang ketika menyertai acara berkenaan dan operasi oleh pelbagai agensi kerajaan dan sukarelawan telah digerakkan di kawasan tersebut sejak Sabtu lalu. – HARAKAHDAILY 29/3/2019
IMG 20190329 WA0044
- Advertisement -