Elak leka, tapi mengisi menang, hadap cabaran

- Advertisement -
LARUT: Memenangi kerusi pilihan raya tidak harus menjadikan para pendukung PAS mahupun Umno leka dan berbangga, sebaliknya serius menyedari cabaran dan ancaman ke atas umat Melayu-Islam.
 
Demikian peringatan diutarakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Larut, Ahmad Fadhil Muhammad ketika berucap pada program Munajat Perdana dan Himpunan Perpaduan Ummah Dun Kubu Gajah.
 
Program yang menampilkan Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah selaku peneramah utama itu telah dilangsungkan di Markas PAS Cawangan Kampung Pantai Besar, di sini kelmarin.
 
Fadhil menyifatkan kemenangan PAS di dua Dun dalam Parlimen tersebut iaitu Selama dan Kubu Gajah sebagai ujian Allah yang dikurniakan selepas 60 tahun berjuang.
 
“Bukan untuk dibanggakan, tetapi diurus kemenangan ini sebaiknya dan untuk menguji serta mengajar kita bagaimana mengisi kemenangan.
 
“(Hakikat) Kemenangan ini juga begitu mencabar kerana ketika ini Islam dipermainkan oleh bukan Islam. Pelbagai isu mengancam umat Islam berlegar dan ia gagal ditangani Kerajaan PH,” ujarnya.
 
Sementara itu, Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahya pula membidas demokrasi palsu yang diamalkan PH disebalik keadilan dilaungkan mereka sebagai pembangkang dahulu.
 
Beliau mendedahkan isu arahan kepada Pejabat Pusat Khidmat Dun Kubu Gajah kendalian pihaknya supaya dikosongkan atas alasan premis tersebut merupakan bangunan kerajaan.
 
“Sudahlah peruntukan kepada Adun Pembangkang dinafikan, sekarang bangunan yang pihak kami sewa pula diarahkan kosong. Inilah demokrasi palsu Kerajaan PH,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 30/3/2019
- Advertisement -