Kos sara hidup B40 di bandar paling terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan langkah mengatasi peningkatan harga makanan di kawasan bandar utama yang memberi kesan terhadap golongan B40.

- Advertisement -

Katanya, kos sara hidup di bandar lebih tinggi berbanding di luar bandar menyebabkan golongan B40 terpaksa berbelanja melebihi pendapatan mereka.

Tambah beliau, kerajaan melalui Menteri Kewangan merancang bagi mewujudkan penggunaan indek kos sara hidup sebagai panduan bersama dengan indeks harga pengguna, bagi mengukur keadaan sebenar ekonomi rakyat.

“Apakah pertimbangan yang akan dilakukan oleh pihak kementerian dalam ukuran kos sara hidup tersebut dalam mengambil kira variasi perbandaran dan pendapatan golongan B40,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata Nik Abduh, hal ini penting kerana melibatkan strategi polisi supaya lebih komprehensif sebagai menangani masalah inflasi.

Timbalan KPDNHEP, Chong Chieng Jen berkata, kementeriannya telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya berkaitan harga barangan.

Namun Chieng Jen berkata kerajaan masih belum memuktamadkan faktor yang diambil kira dalam indeks kos sara hidup malah masih mempertimbangkan cadangan kos sara hidup antara bandar dan luar bandar. – HARAKAHDAILY 27/3/2019

- Advertisement -