Apa rasional bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan kepentingan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyoal rasionalnya pembinaan lapangan terbang Kulim kerana setakat ini Kedah telah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

“Maknanya ada tiga lapangan terbang di Kedah iaitu di Alor Setar, Langkawi dan Kulim. Penang dengan Kulim kedudukannya sangat dekat.

“Apakah rasionalnya berbelanja dengan begitu besar untuk wujudkan satu lagi lapangan terbang antarabangsa?” soal Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Mohd Jidin dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, pembinaan lapangan terbang tersebut adalah sebagai usaha kerajaan untuk memangkin pembangunan di wilayah tersebut.

Lapangan terbang KXP adalah salah satu daripada beberapa projek infrastruktur di Kedah yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dijangka menelan belanja RM1.6 bilion.

Sebelum itu, portal Free Malaysia Today melaporkan timbul kegusaran dalam kalangan peniaga di Pulau Pinang yang bimbangkan perniagaan mereka akan merosot ekoran nilai hartanah dan kos berniaga di Kulim lebih murah.

Kedudukan Lapangan Terbang Pulau Pinang yang terletak hanya 30 km dari Kulim turut dibimbangi akan berlaku pertindihan perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 27/3/2019

- Advertisement -