Tambah baik hasil tangkapan ikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan nilai hasil tangkapan laut dalam mengikut negeri dari 2015-2018.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan soalan tersebut ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menyatakan perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan tangkapan marin dari tahun 2015-2018.

“Pada tahun 2015 sebanyak 1.49 juta metrik tan bernilai RM9,321 juta. Pada tahun 2016 sebanyak 1.57 juta metrik tan bernilai RM10,176 juta.

“Pada tahun 2017, 1.47 juta metrik tan bernilai RM10,818 juta manakala pada tahun 2018 sebanyak 1.47 juta metrik tan bernilai RM11,385 juta,” tambah beliau.

Abdullah mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan apakah rancangan penambahbaikan cadangan sistem penjualan terus dari laut seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Hal ini supaya ia benar-benar mencapai matlamat yang diharapkan untuk mengurangkan manipulasi orang tengah dan akhirnya meningkatkan pendapatan para nelayan.

“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh LKIM, Malaysia masih mengimport 20 peratus ikan daripada luar negara.

“Justeru itu, apakah inisiatif lain kementerian dalam memastikan hasil tangkapan ikan dapat ditingkatkan,” soal beliau.

Sim Tze Tzin berkata, secara purata Malaysia telah mencapai 90 peratus SSL jadi lebih kurang 10 peratus adalah import.

“Tetapi mungkin kerana kita ada eksport sesetengah ikan maka kita terpaksa ganti import dari negara lain.

“Kita akan meneruskan beberapa usaha sebagai contoh kita akan memberikan lesen laut dalam kepada nelayan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/3/2019

- Advertisement -