Perkasa kemahiran guru kuasai jawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit menggesa Kementerian Pendidikan memperkasakan kemahiran guru-guru dalam menguasai pengkaedahan tulisan jawi.

- Advertisement -

Katanya, cadangan tersebut tercetus atas faktor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mewujudkan satu modul bagi pengkaedahan tulisan jawi.

“Sekarang ini, kursus-kursus yang diadakan hanya berbentuk musim, dan ini perlu ditegaskan oleh Menteri Pendidikan supaya kursus-kursus guru untuk pengkaedahan tulisan jawi perlu dibuat secara drastik,” ujarnya ketika berbahas dalam Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan status permohonan kerajaan Negeri Kedah terhadap kerajaan pusat bagi menanggung sepenuhnya kos membina serta menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang menelan belanja hampir RM1 billion.

“Isu air di Kedah ini sudah lama berlautan, maka projek membina dan menaik taraf LRA Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama serta Jenun Baru sepatutnya tidak dilengahkan lagi.

“Ini kerana, apabila tiba musim kemarau sekarang, rakyat di Kedah begitu terkesan dengan masalah kekurangan bekalan air,” ujarnya.

Menyentuh isu pembunuhan dua beradik awal tahun ini, Sabri memohon agar pihak berkuasa menyiasat sebaik mungkin penglibatan token-token dadah di kawasan Parlimen Jerai.

Awal tahun ini, dua beradik Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya Mohammad Hafiz Idris, setahun, dikelar serta ditetak seorang lelaki dalam kejadian amuk di Kampung Tengah, Yan. – HARAKAHDAILY 26/3/2019

- Advertisement -