MP PAS bangkit sikap pentadbiran UKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) terpaksa menyewa sebuah dewan di luar kampus bagi meneruskan forum bicara eksklusif bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berlangsung pada malam ini.

- Advertisement -

Difahamkan forum Bicara Tokoh bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang di bawah tajuk Pembangunan Masyarakat Madani dijadualkan berlangsung pada jam 7:45 malam ini telah dipindahkan di dewan Bangi Convention Center, terletak tidak jauh dari UKM.

Isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit yang mempersoalkan tindakan pentadbiran UKM yang dikatakan berdolak dalik memberi alasan untuk memberi kelulusan tempat forum diteruskan di UKM.

“Dato’ Yang Dipertua, untuk masa akhir ini, suka saya sentuh sedikit tentang isu terbaru di UKM, program anjuran mahasiswa yang menjemput YB Marang, Presiden PAS, terpaksa diadakan di luar kampus kerana pihak pentadbir berdalih dengan 1001 alasan untuk memberikan kelulusan tempat.

“Sedangkan program dijadualkan malam ini bukan bersifat politik, tetapi bersifat akademik, ilmiah yang bertajuk pembangunan masyarakat madani, Ikatan Studi Islam terpaksa menyewa dewan di luar kampus bagi meneruskan program yang dirancang sejak November 2018 lagi.

“Saya menuntut penjelasan YB berkenaan, isu ini agar kerana kita tidak mahu adanya sikap double standard kerajaan PH dalam kebebasan mahasiswa bersuara,” katanya ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, forum bual bicara eksklusif bersama Ahli Parlimen Marang yang diadakan di kampus universiti tempatan bukan satu perkara baharu, malah sebelum ini figura ini pernah dijemput oleh beberapa institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), parti pembangkang telah disekat atau dilarang berforum di kampus pendidikan tinggi namun selepas tampuk pemerintahan negara beralih kepada Pakatan Harapan, sekatan itu telah dilonggarkan.

Keterbukaan ini dilihat apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mempelawa lebih ramai tokoh politik termasuk daripada pihak pembangkang untuk berkongsi idea di universiti awam.

Ia bertujuan merealisasikan dasar kementerian untuk menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka. – HARAKAHDAILY 25/3/2019

- Advertisement -