Beruas adakan Karnival Sambutan 67 Tahun PAS

- Advertisement -
BERUAS: PAS Kawasan Beruas telah mengadakan Karnival Sambutan PAS 67 Tahun yang dilangsungkan dengan pelbagai acara di Dataran Markas PAS Ghuraba Pengkalan Baharu, di sini.
 
Program sehari suntuk yang menarik kunjungan masyarakat setempat itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang DiPertua PAS Beruas, Zakaria Hashim, semalam.
 
Antara aktiviti dijalankan adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, selain pertandingan masakan buah labu dan gubahan tuala untuk kaum ibu.
 
Malah, kemahiran kaum ibu turut diuji dalam pertandingan mengukur kelapa dan menganyam sarung nangka, manakala untuk peserta lelaki dibuka pertandingan motor perlahan dan memanah.
 
Juga dilangsungkan sempena karnival tersebut adalah kaedah sembelihan syarak selain pameran sejarah PAS Beruas yang memaparkan pelbagai gambar rentas masa sejak dari penubuhannya.
 
Pengunjung juga berpeluang membuat pemeriksaan tahap kesihatan menerusia kaunter khidmat perubatan yang disediakan percuma oleh pihak Klinik Besar Pantai Remis.
 
Karnival ini juga meraikan golongan memerlukan apabila menyediakan barangan seperti pakaian baharu dan terpakai, serta sayuran dan hasil laut nelayan Pantai Remis yang diberi percuma.
 
Sesi petang telah dijalankan majlis hi-tea dan dialog anak muda bersama Ketua Urusan Ulamak PAS Beruas dan Ketua Pemuda PAS Beruas serta Ketua Pemuda Umno Bahagian Beruas.
 
Seusai solat Maghrib dan Isyak serta bacaan Yaasiin dan tahlil perdana, kemuncak karnival menampilkan ceramah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.
 
Turut bersama pada ceramah bertema Perpaduan Ummah itu ialah Ketua Umno Beruas, Dato’ Drs Azhar Ahmad dan Ketua Urusan Ulamak PAS Beruas, Ustaz Syakirin Husin. – HARAKAHDAILY 25/3/2019 
IMG 20190325 WA0021
 
IMG 20190325 WA0026
- Advertisement -