PAS Lumut bina hubungan usahawan Muslim

- Advertisement -
LUMUT: PAS Kawasan Lumut menerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi telah mengadakan lawatan ke kilang perusahaan produk Muslim di Kampung Permatang Manjung, di sini semalam.
 
Lawatan diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abd Rahman dan Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad itu bertujuan membina jaringan usahawan Muslim dalam kawasan ini.
 
Ia juga dalam usaha berkongsi pandangan dan idea untuk membangunkan usahawan Muslim khususnya dan memajukan ekonomi umat Islam keseluruhan amnya.
 
Pada kesempatan tersebut, delegasi melihat sendiri proses pembuatan produk bebola dan kek ikan keluaran hasil tangan penduduk jati kampung tersebut yang dihasilkan dengan jenama Mak Cuu.
 
Pihak kilang sendiri melahirkan harapan agar sokongan dan bantuan dari pengguna akan sama-sama menjayakan kempen membeli serta mengguna produk Muslim, sekali gus merancakkan ekonomi umat Islam.
 
Pihak PAS Lumut pula berbangga dengan kegigihan para usahawan yang meneroka bidang ini di mana juga telah mewujudkan peluang pekerjaan serta meluaskan pasaran umat Islam.
 
Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Pengerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Lumut, Nizam Majid serta aktivis masyarakat, Raie Yusuf. – HARAKAHDAILY 24/3/2019
- Advertisement -