‘Leave no one behind’: Hari Air Sedunia

- Advertisement -
TANGGAL 22 Mac saban tahun akan diingati dan diadakan sambutan Hari Air Sedunia. Ia satu usaha antarabangsa bagi memastikan krisis air yang dihadapi oleh ramai pihak di segenap penjuru muka bumi dapat dilihat dengan dekat dan penyelesaian demi penyelesaian dicadangkan bagi memastikan tiada siapa yang akan ketinggalan. Menjelang tahun 2030 ianya diharap menjadi satu tarikh di mana tiada lagi manusia yang tertindas dalam mendapat akses air bersih untuk kehidupan mereka. Sehingga kini, ribuan juta masyarakat dunia masih bergelut dengan masalah air bersih untuk kehidupan rumahtangga, sekolah, tempat kerja, kebun dan perladangan, kilang serta pelbagai lagi segmen lain.
 
Dalam satu naskhah kajian yang diterbitkan oleh North-West University, Vaal Triangle Campus, South Africa ada disebutkan mengenai anggaran yang dibuat oleh Bank Dunia iaitu sekitar 166 juta manusia dari 18 negara terkesan dengan kekurangan sumber air bersih, manakala 270 juta lagi dari 11 buah negara mengalami masalah ‘water stressed’ iaitu jumlah kehendak dan permintaan terhadap air bersih lebih tinggi berbanding sumber yang wujud tersedia pada waktu itu. Sehingga kini World Resources Institute menyebut terdapat 37 buah negara yang mengalami krisis teruk ‘water stressed‘ yang membawa erti lebih 80 peratus sumber air untuk kegunaan domestik, pertanian dan industri adalah tidak mencukupi.
 
Di Malaysia, pada tahun ini akan diadakan sambutan hari air ini di Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Melaka pada 12 April bulan hadapan. Ia bakal dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dalam usaha memberikan ilmu dan kesedaran mengenai kepentingan sumber air dan kaedah mengekalkan kualiti air kepada pelajar pelajar sekolah. Di mana terdahulu, bagi peringkat kebangsaan, secara rasminya Sambutan Hari Air Sedunia 2019 akan dibuat pada 23 Mac 2019 di Pantai Merdeka, Kuala Muda, Kedah.
 
Sambutan di Melaka ini begitu ironi sekali kerana sungai negeri ini sering ditonjolkan sebagai bermasalah dengan kekotoran dan pencemaran sejak sekian lama. Sungai Tuang sebagai contoh masyhur apabila dicemari dengan najis babi dari puluhan kandang di sekitar sehingga mengalir mengotori pula pantai Teluk Gong. Begitu juga kerosakan air Sungai Chohong, Jasin dipercayai akibat pencemaran dari kilang pengeluaran ayam dan sampah serta najis babi. Biarpun kerajaan Melaka mengatakan punca pencemaran ini adalah dari Tangkak, Johor, tapi ia sama sahaja. Beberapa tahun sebelum daripada ini kecoh mengenai penduduk sekitar Sungai Ayer Salak, Melaka, yang mengadu kehidupan mereka amat tidak selesa kerana sungai berkenaan dipenuhi bahan kimia dipercayai cecair seperti minyak.
  
Sambutan Hari Air Sedunia tahun ini amat tragis bagi penduduk Pasir Gudang. Pencemaran pada tahap yang amat teruk dan di luar batas akal fikiran kita telah terjadi di Sungai Kim Kim. Ribuan penduduk terjejas. Ribuan juga laporan berita mengenainya dibuat sehinggakan dibawa usul darurat ke Parlimen. Air Sungai Kim Kim bukan sahaja sudah tidak mampu menjadi ‘air bersih’ untuk kegunaan penduduk sekitar, tetapi berubah pula menjadi racun yang memudaratkan.
 
Satu perkara lagi yang sedang dihadapi penduduk negara ini adalah cuaca panas dan kemarau panjang. Keadaan cuaca panas dan kering yang telah melanda Negeri Kedah sebagai contohnya dijangka berterusan sehingga Mei 2019. Kawasan tadahan air Gunung Jerai terjejas teruk dan berlakulah pengurangan kuantiti sumber air mentah. Operasi Loji Headwork Tupah, Loji Headwork Merbok dan Loji Headwork Gurun telah terjejas dan sehingga kini, ketiga-tiga loji headwork ini hanya mampu beroperasi sekitar 50 peratus daripada kapasiti pengeluaran normal sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air yang kritikal kepada pengguna yang berada di kawasan tinggi dan penghujung sistem.
 
Satu lagi lokasi panas melampau serta kering berpanjangan yang mengundang masalah bekalan air yang menjejaskan 6,561 pemilik akaun adalah di daerah Pekan. Pegawai Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Nurul Farhana Abdul Hamid, berkata fenomena yang dijangka berlanjutan sehingga penghujung Mac itu mengakibatkan Sungai Mentiga kering, sekali gus menyaksikan penyusutan mendadak terhadap paras bekalan di Loji Air Chini. Penduduk sekitar telahpun mengadakan solat sunat istisqa’ semalam bagi memohon kepada Allah S.W.T rezeki hujan.
 
Selain daripada masalah bekalan air sungai yang tercemar, cuaca panas melampau sehingga banyak loji ditutup, seperkara lagi adalah mengenai polisi dan kaedah pengurusan air itu sendiri.  Kerajaan Melaka sebagai contohnya mengumumkan kenaikan tarif air bermula awal tahun ini dan ia telah meresahkan para pengguna tempatan. Biarpun Ketua Menteri Melaka memberi jaminan bahawa peningkatan tarif ini tidak akan membebankan para pengguna, namun rakyat sudah tidak lagi percaya akan kata kata serta jaminan yang tidak masuk akal sebegini. Pulau Pinang awal lagi sebelum ini mengumumkan kenaikan 20 peratus tarif air manakala Perak dan Negeri Sembilan dalam proses kajian untuk menaikkannya. Selepas PRU 14 tempoh hari kelihatan kerajaan kerajaan negeri pimpinan PH seakan akan berlumba untuk menaikkan caj air. Lebih memalukan apabila keluar kenyataan seperti, “Rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan,” oleh Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.
 
Sedarkah YB Menteri bahawa dunia masakini menujukkan bagaimana harga air mineral pun kebanyakkannya telah lebih mahal berbanding petrol? Kenapa mahu diminta rakyat kasihankan kerajaan yang dilihat secara wewenang menaikkan caj air? Soal kos yang tinggi itu tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah tanggungjawab wajib kerajaan yang memerintah. Jika idea membuat terowong boleh dijalankan walau memakan kos berbillion, kenapa untuk perbekalan air bersih bagi kegunaan rakyat sehari hari, kerajaan terlalu berkira kira?
 
Satu hal lain juga, pada hari Sambutan Air Sedunia ini, kerajaan wajib memulakan segera perbincangan semula berkaitan bekalan air ke Singapura. Telah berapa lama perkara ini berlarutan sehinggakan rakyat sudah naik jemu. Mengikut perjanjian semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen. Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada bekalan itu pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen. Ini bukan soal berkira kira atau ‘kedekut’ dengan negara jiran. Tetapi biarlah munasabah bagi fikiran rakyat zaman ini. Harga untuk 1,000 gelen hanya 3 sen? Apa yang boleh dibuat dengan 3 sen pada tahun 2019 ini? Wahai kerajaan PH, muktamadkanlah polemik ini!
 
Bagi penulis sendiri sebagai rakyat Kelantan, tema Sambutan Hari Air Sedunia tahun ini “Leave No One Behind” amat mengujakan. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah lama seiring dan menyokong sambutan ini.  Tema yang memberikan maksud “tidak ada seorangpun akan diabaikan hak mendapat bekalan air bersih” yang menjadi keperluan asas semua insan telah lama diberi perhatian di negeri ini.
 
Dalam mencapai apa yang dimaksudkan oleh tema pada tahun ini, AKSB kelihatannya telah pun mengorak langkah yang dimaksudkan. Antaranya:
 
1.    Menukar kaedah pengambilan air mentah dari air permukaan kepada air bawah tanah atau gabungan kedua-duanya yang dipanggil hibrid. Usaha ini penting kerana kajian menunjukkan kadar penurunan hujan di seluruh dunia kesan daripada fenomena EL Nino akan memberikan impak kepada aras air sungai sungai utama di Malaysia. Ini dibuktikan pada tahun ini yang mana kemarau telahpun bermula sejak awal Februari berbanding 5 tahun sebelumnya ia hanya akan bermula seawal April atau Mei setiap tahun.
 
2.    Pembinaan loji baru dan juga menaiktaraf loji loji lama. Loji yang sedang dibina ialah Loji Kg Telok berkapasiti 30JLH (Juta Liter Sehari). Loji Tualang berkapasiti 20JLH. Peringkat tender pula adalah Loji Chicha II berkapasiti 40JLH. Manakala bagi peringkat rekabentuk Loji Tg Mas (30JLH), Loji Bukit Chuak dan Gua Musang (10JLH).
 
3.    Penukaran paip lama dan uzur jenis asbestos cement sepanjang 450 kilometer bagi tahun 2019 sehingga 2020. Sehingga kini 5 Pakej sudah dilantik operatornya. Manakala selebihnya secara berperingkat sehingga September 2019.
 
4.    Mengadakan kempen sambungan baharu dan sambungan semula secara agresif semenjak bermula April 2019.
 
Semua usaha usaha di atas adalah untuk memastikan bekalan air yang mampan untuk negeri Kelantan dan kearah usaha menambahkan kadar liputan 67.5 peratus pada Disember 2018 kepada 80 peratus sekurang-kurangnya pada Disember 2020. Syabas AKSB. Kami berbangga. Leave No One Behind.

 
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/3/2019
- Advertisement -