Subsidi haji mesti dikekalkan

- Advertisement -

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama) tidak boleh menjustifikasikan konsep istito’ah (kemampuan kewangan) untuk mengurangkan subsidi haji buat jemaah yang pertama kali menunaikan haji menerusi muassasah.

- Advertisement -

Walaupun konsep istito’ah itu betul pada prinsipnya, namun menteri harus merujuk isu subsidi haji sebagai satu tanggungjawab pihak Lembaga Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan.

Subsidi haji yang diberikan sejak tahun 2001 merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bukan Zakat yang diperuntukkan oleh Lembaga Tabung Haji. Malah, ia merupakan peruntukan sumbangan yang terbesar dan terpenting oleh LTH berbanding sumbangan-sumbangan lain seperti Dana Tabung Warga Tua dan Sahabat Korporat.

Menurut LTH, pemberian sumbangan subsidi haji adalah satu bentuk perkongsian kejayaan yang diperolehi oleh LTH hasil daripada sokongan pendeposit. Pada tahun 2017, jumlah deposit ialah RM73.56 bilion dan meningkat kepada RM74.5 bilion pada tahun 2018. Jumlah akaun baru yang dibuka dalam tempoh tersebut juga adalah sebanyak 31,580 akaun.

Berdasarkan kepada peningkatan jumlah deposit dan akaun baru, maka wajar bagi LTH untuk terus mengekalkan subsidi haji yang pertama kali menunaikan haji menerusi muassasah. Berdasarkan perkongsian sokongan rakyat (pendeposit), maka tidak ada sebab untuk pihak LTH mengurangkan subsidi buat bakal haji. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

- Advertisement -