Malaysia perlu teroka potensi wakaf

- Advertisement -

JEDDAH: Malaysia sebagai sebuah negara Islam, perlu merancang dan memperbaharui sistem ekonomi mengikut piawaiannya tersendiri untuk mencapai status negara maju.

- Advertisement -

“Usaha dan tindakan Malaysia terhadap agenda Islam global telah menunjukkan bahawa negara Malaysia diiktiraf sebagai hab Kewangan Islam dan Perbankan Islam Antarabangsa,” ujar Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Mat Din.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi AWQAF Holdings Berhad menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Reformasi Ekonomi Malaysia – Pelaksanaan Agenda Waqaf Korporat Melalui AWQAF Holdings Berhad di sini, hari ini.

Di dalam pembentangan yang disampaikan dalam Bahasa Arab itu, beliau turut menekankan kapitalisma liberal kini dianggap sebagai punca utama kebanyakan masalah global seperti pembaziran sumber, rasuah, jurang ekonomi yang melebar, kerosakan kohesi sosial dan ancaman kestabilan politik sesebuah negara.

Katanya, kekayaan dan kekuasaan melampau di tangan yang digelar “1 peratus” di bahagian atas piramid ekonomi, hanya menambahkan api kemarahan komuniti global yang terus membara.

Tambahnya, tidak ada negara di dunia boleh mengambil ringan fenomena yang berlaku di waktu ini.

“Walau bagaimanapun, terdapat satu instrumen baru yang sangat berpotensi untuk mengubah sistem ekonomi dunia, yang juga sedang diteliti oleh dunia Islam iaitu inisiatif Wakaf Korporat.

“Sejarah telah membuktikan bahawa institusi wakaf boleh bertindak sebagai sumber pembiayaan dan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam semasa pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah melalui instrumen wakaf, keperluan asas dan infrastruktur masyarakat dapat dikembangkan,” ujarnya lagi.

Forum “Saudi and Malaysian Experiences Forum in Waqf Management & Investment” yang dianjurkan oleh International Institute of Islamic Waqf & King Abdul Aziz University Endowment (WAQF) itu turut dihadiri perwakilan dari negara-negara Arab yang berpotensi untuk berkolaborasi dengan AWQAF dalam menjadikan wakaf sebagai sektor ekonomi ketiga di dunia. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

- Advertisement -