Isu ‘Doktor Dukalara’ dan keenganan vaksinasi

- Advertisement -
SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Ustaz Hj Abdul Latiff Abdul Rahman yang telah memberi laluan saya membangkitkan isu ‘Doktor Dukalara’ di Dewan Rakyat petang kelmarin.
 
Ini saya bangkitkan dalam ucapan perbahasan Titah Di Raja beliau berkaitan masalah Doktor dan Houseman (Doktor Pelatih) yang ditempatkan berjauhan dari keluarga mereka. Terutama bagi yang sudah bersuami atau beristeri mereka terpaksa berkejar antara tempat kerja (hospital atau klinik) dengan rumah mereka untuk bertemu keluarga. Hingga dalam mengejar ruang masa dan keletihan kerja termasuk sesudah on call, ada yang kemalangan dijalanraya dan maut pun ada.
 
Terima kasih kepada YB Pengkalan Chepa, Ustaz Hj Ahmad Marzuk Shaary yg membangkitkan soal pekeliling Kementerian Kesihatan mengenai penempatan Doktor Pelatih (Houseman) yang perlu ada budibicara bila melibatkan soal kebajikan kehidupan doktor. 
 
Amat merugikan negara, para doktor yang dihasilkan dengan pelaburan besar, kematian dijalan raya atau cedera oleh kemalangan dikeranakan oleh kegagalan Kementerian mengambil cakna isu kebajikan dalam penempatan doktor. Doktor baru melahirkan anak kecil dipisahkan dari suami dan anak-anak yang lain. Sangat rugi jika sehingga doktor ada yang mengambil keputusan berhenti dari perkhidmatan kerajaan.
 
Jika Manifesto PH bukan kitab suci yang tidak semestinya diikuti, apatah lagi pekeliling yang tidak munasabah dan mewujudkan Doktor Dukalara ini, takkan Menteri pun tidak boleh betulkan?
 
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuching yang membangkitkan masalah keengganan sebahagian masyarakat kepada suntikan vaksin sehingga boleh menggagalkan usaha mengekang penyakit-penyakit merbahaya yang tertentu. Saya telah menyatakan keprihatinan bahawa isu keraguan terhadap vaksinasi ini menjadi masalah dalam kalangan segelintir ummat Islam. Yang mendukacitakan ia kononnya beralasankan ‘agama’. 
 
Kerana itu saya minta JAKIM dan pihak berkuasa agama yang lain membantu dengan membuat penjernihan isu ini agar tidak berbangkit lagi keraguan.
 
HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen
Kuala Terengganu 
21 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 21/3/2019
- Advertisement -