Bola sepak satukan Pemuda PAS – Umno Larut

- Advertisement -
LARUT: Pemuda PAS Kawasan dan Pemuda Umno Bahagian menzahirkan hubungan mereka untuk mengembleng kesatuan anak muda dalam Parlimen Larut menerusi perlawanan persahabatan bola sepak yang diadakan di Kubu Gajah, di sini semalam.
 
Ternyata usaha menerusi sukan itu dilihat antara platform terbaik mendedahkan anak muda kepada politik dan agenda sedang dibawa kedua pihak dalam mengangkat gagasan ummah Melayu-Islam.
 
Perkara tersebut diakui wakil Pemuda PAS Cawangan Pekan Kubu Gajah, Solleh Omar yang tidak menyangka permusuhan kedua parti berubah membentuk kesepakatan baharu pembangkang di atas nama Islam dan Melayu.
 
Manakala bagi wakil Pemuda Umno Cawangan Kampung Pantai Besar, Juzi Aizam Bakly, gembira melihat perkembangan politik mutakhir ini khususnya berkaitan kerjasama antara PAS dan Umno.
 
Katanya, beliau berbangga dan merasa bertuah melihat sejarah tersebut di usia muda dan berharap agar impak hubungan itu nanti bakal menentukan kerajaan pada penggal berikutnya.
 
Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Abd Qahar Syams berharap agar anak muda menjadi golongan yang memberi perhatian terhadap isu politik negara demi kestabilan dan masa depan negara.
 
Katanya, daftar undi anak muda penting selaku penentu kepada kepimpinan akan datang yang juga menjadi pencorak kepada perkembangan dan pertumbuhan serta pembangunan negara.
 
Perlawanan yang penuh semangat kesukanan itu menyaksikan Pemuda PAS Larut mengatasi Pemuda Umno Larut dengan keputusan 2 – 1, sekali gus meletakkan Pemuda PAS mengatasi Pemuda Umno dalam beberapa siri perlawanan mutakhir ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2019
- Advertisement -