RM3.2b projek orientasi niaga atau keperluan asas?

- Advertisement -

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PKR) telah mengumumkan tujuh projek pembangunan baharu untuk negeri Kedah bernilai RM3.2 bilion di Dewan Rakyat, semalam.

- Advertisement -

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut diumumkan walaupun ia pernah diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pada tahun 2015 sewaktu bersama Umno dahulu. Kini beliau adalah Menteri Besar Kerajaan PH Kedah dari PPBM.

Projek KXP ini dijangka menelan kos lebih kurang RM4 bilion. Jika Kerajaan Persekutuan tidak ada peruntukan untuk disalurkan kepada Kedah, ia dicadang dibangunkan melalui kaedah Private Fund Innitiatives (PFI).

Sasarannya ialah menguruskan penerbangan kargo untuk mengeksport produk industri dari Taman Perindustrian Kulim. Fasa berikutnya akan menguruskan penerbangan penumpang.

Minggu lepas (13 Mac), Ketua Menteri Pulau Pinang, Choe Kon Yeow daripada DAP membuat kenyataan (yang seolah-olah ‘bantahan’) bahawa belum ada keputusan daripada Kementerian Pengangkutan di Putrajaya untuk membangunkan KXP. Mungkin beliau menimbangkan KXP akan menjejaskan Lapangan Terbang di Pulau Pinang.

Adakah KXP akan menjadi realiti andainya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga dari DAP tidak bersetuju ia dibangunkan kerana ada bantahan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP? Paling sahih, pihak pencadang dan pembantah sama-sama beralas perniagaan.

Persoalan kedua mengenai pengumuman KXP semalam ialah sama ada ia projek pembangunan dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau pembiayaan swasta melalui kaedah PFI? Jika PFI, siapa ‘P’ (persendirian) itu?

Sewaktu ura-ura Lebuh Raya Bandar Baharu – Sungai Petani akan dibangunkan sekitar 2007-2008, ia telah melepasi tahap kelulusan dasar Unit Kerjasama Kerajaan-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri. Saya pernah melihat salinan surat kelulusan dasar itu. Pengarah UKAS pada waktu itu ialah Tan Sri Dr Ali Hamsa (mantan Ketua Setiausaha Negara).

Kenapa melalui UKAS? Kerana ia projek swasta yang akan dibina melalui kaedah PFI. Ia bukan projek lebuh raya kerajaan dari peruntukan Kerajaan Persekutuan yang memungkinkan bebas tol dapat dilaksanakan. PFI wajib melibatkan tol untuk mendatangkan pulangan kepada pihak swasta.

Soalan saya, pengumuman projek Lebuh Raya 1A dan 1B bernilai RM1.7 bilion semalam adalah projek pemberian Kerajaan Persekutuan ataupun projek PFI yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan?

Jawapan hanya ada pada kerajaan. Tetapi sahihnya, ini projek berorentasikan perniagaan, bukan keperluan asas rakyat walaupun ia boleh menjadi kemudahan kepada orang ramai.

Pembangunan Infrastruktur Hub Industri Pembuatan dan Logistik Sidam bernilai RM300 juta juga adalah komponen KXP. Jika KXP terlaksana, barulah projek ini pun jalan. Tetapi soalannya, bila keduanya akan dimulakan?

Projek Perpustakaan Digital bernilai RM15 juta sangat berguna untuk masyarakat, pelajar dan institusi pendidikan. Persoalannya, adakah ianya percuma atau berbayar?

Kajian impak pembinaan Taman Industri Petrokimia di Gurun bernilai RM2 juta, ini bukanlah projek ‘koyak plastik’. Ia pernah menjadi sebahagian komponen projek Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIHH) pada 2009. Sebelumnya dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang diumumkan pada tahun 2007.

Bagi penyokong PH di Kedah, pengumuman projek-projek berimpak tinggi ini kelihatan seperti dentuman guruh di musim kemarau. Kedah akan berkembang pesat, maju dan moden. Tidak kurang pula yang kembang hidung dan punggung sambil menyebarkan berita ini dengan penuh bangga. Inilah pencapaian terbaik Kedah di bawah PH, bahawa sejarah besar akan tercipta.

Sebahagian besar rakyat Kedah, terutama yang tidak dapat mandi dan mencuci di Merbok, Singkir, Bukit Tembaga, Baling, dan beberapa lokasi lain tetap tertanya-tanya, malah terpinga-pinga.

Jika Kerajaan Persekutuan ada peruntukan sebesar itu, kenapa tidak didahulukan projek infrastruktur bekalan air yang kritikal sejak lebih 10 tahun lalu. Lima Loji Rawatan Air (LRA) dan jajaran paip yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan Kedah daripada menghadapi krisis bekalan air hanya memerlukan RM1.7 bilion.

Kawasan Merbok yang paling kritikal pada waktu ini memerlukan RM220 juta untuk LRA Bukit Selambau dan komponennya. LRA Bukit Pinang dan Jenun Baru perlukan RM600 juta untuk memastikan bekalan air di Kedah Utara dan Tengah terus lancar. LRA Sungai Limau, Baling perlu dinaiktaraf segera. Ia sudah uzur dan nazak.

Keseluruhan infra air yang ada kini sedang diperah bekerja 120 peratus daripada kapasiti keupayaan sebenar, menanti masa skru tertanggal. Itupun sebahagian rakyat Kedah terpaksa menjerit untuk mendapat bekalan air bersih. .

Hospital Pendang dan Bandar Bharu sudah berpuluh tahun dijanjikan. Orang Pendang menunggu sejak janji pertama pada 2002. Penduduk Kedah Selatan sebahagiannya menjadi rakyat Perak dan Pulau Pinang gara-gara bersalin di Hospital Parit Buntar, Taiping atau Seberang Jaya.

Jika ada RM3.2 bilion dalam poket Putrajaya untuk diberikan kepada Kedah, kenapa projek kemudahan asas terpenting untuk rakyat tidak ada dalam senarai mereka? Jangan-jangan semua projek RM3.2 bilion itu adalah projek PFI yang orentasinya adalah swasta, perniagaan dan untung.

Saya tidak anti perniagaan dan mengalu-alukan projek-projek besar untuk perkembangan dan kemajuan ekonomi Kedah. Tapi saya bimbang kerajaan tersalah meletakkan keutamaan (aulawiyat), keperluan asas rakyat terbanyak terlepas ke belakang. Mana ada manusia tak mahukan pembangunan di dunia ini, tapi mandi, memasak, membasuh mena bereskan dulu.

Kita tunggu Dato’ Seri Azmin dan Dato’ Seri Mukhriz mengumumkan projek bekalan air pula sebelum Jun 2020. Sementara itu, pandai-pandailah rakyat tadah air daripada lori tangki.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR

Ketua Pembangkang

Dun Kedah – HARAKAHDAILY 20/3/2019

- Advertisement -