PAS – Umno bukan ‘Perpaduan Hantu Raya’

- Advertisement -
LARUT: Kerjasama PAS dengan mana-mana pihak bukan kerana kuasa tetapi demi memenuhi tuntutan Islam, demikian tegas Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad di Batu Kurau, di sini semalam.
 
Menurut beliau, sekiranya kuasa menjadi keutamaan, sudah tentu PAS akan bekerjasama dengan Umno ketika mereka menjadi pemerintah sebelum PRU 14.
 
“Begitu juga sekiranya kuasa menjadi keutamaan PAS, lebih baik PAS menyertai Kerajaan PH yang telah memenangi PRU14, tetapi bukan itu keutamaan kita. 
 
“Keutamaan kita ialah apa-apa yang PAS lakukan adalah demi Islam, bangsa dan negara,” ujarnya pada Himpunan Perpaduan Ummah Kawasan Larut itu.
 
Katanya, PAS yang berpengalaman dengan sepak terajang politik Malaysia telah mengadakan pelbagai pendekatan dan strategi politik oleh pimpinannya sejak merdeka sehingga kini. 
 
Terang beliau, kerjasama antara PAS dan Umno adalah kerana Islam dan bukannya atas nama kebendaan, kerana sekiranya atas tujuan kebendaan ianya adalah ‘Perpaduan Hantu Raya’. 
 
“Inilah yang difirmankan oleh Allah S.W.T dengan ayat “Wa’tasimu bihablillah” dan kita bersatu untuk melihat agama, bangsa dan negara kita menjadi yang terbaik,” kemukanya.
 
Beliau turut menempelak Kerajaan PH yang amat takutkan kerjasama ini sehingga mengeluarkan kenyataan yang melucukan. 
 
“Pernah tengokkah pembangkang lawan pembangkang? Tapi kerajaan punya takut dengan kerjasama ini sengaja diuar-uarkan kenapa PAS tak lawan Umno di PRK Cameron Highlands dan Semenyih? Ini sangat melucukan kita yang berfikiran waras,” bidasnya
 
Tegas beliau juga, kerjasama PAS dengan Umno bukan atas nama perkauman tetapi untuk mempertahankan kestabilan politik negara, terutama DAP dan sekutunya yang semakin biadap dengan Islam, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 20/3/2019
- Advertisement -