IKATAN isytihar deklarasi sokong PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) mengisytiharkan deklarasi solidariti menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas rakan Gagasan Sejahtera iaitu PAS mengumumkan pendirian sama.

- Advertisement -

Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, komitmen solidariti itu dinyatakan selepas menyedari pentadbiran Tun Mahathir dilihat terlalu perlahan berbanding 22 tahun lalu ketika beliau menjadi perdana menteri pertama yang menyaksikan pelbagai sumbangan dari pelbagai sektor khususnya ekonomi negara.

Beliau yang juga bekas menteri kabinet menyifatkan Tun Mahathir terpaksa berhadapan dengan bebanan pelbagai kerenah daripada pimpinan komponen parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada empat parti yang kebanyakanya gemar berpolitik berbanding fokus bekerja untuk rakyat.

“Saya punya anggapan, antara sebabnya banyak politik sangat, empat parti politik ini masing-masing ia tuntut sama gagah, kena dapat persetujuan daripada mereka, jadi dalam keadaan itu agak sukar sikitlah untuk pemimpin bergerak.

“Saya harap mereka ini kurangkan berpolitik, kawal percakapan supaya bagilah keuntungan selalu kepada pemimpin lebih-lebih lagi kepada pemimpin seperti Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin, mereka ini dah tak ada agenda peribadi dah. Cuma untuk negara dan generasi akan datang,” katanya.

Solidariti itu turut menyatakan komitmen parti IKATAN terhadap menteri kanan PH, Tan Sri Muhyididn Yassin dan parti Bersatu yang diumumkan sendiri oleh Abdul Kadir dalam satu sidang media ringkas di Kompleks Matic yang turut dihadir oleh barisan kepimpinan parti IKATAN, di sini hari ini.

Jelas Abdul Kadir, pendirian solidariti ini adalah hak kebebasan partinya dan langsung tidak menjejaskan hubungan antara IKATAN dan PAS dalam Gagasan Sejahtera.

“Kami ini bebas, kami bukan ahli Pakatan Harapan, kami juga bukan ahli Barisan Nasional (BN). Jadi kami bebas nak sokong apa juga kegiatan atau dasar yang baik untuk negara. Jadi kita tidak terikat dengan sesiapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2019

- Advertisement -