Pemimpin perlu ada sifat tempoyak dalam budu

- Advertisement -
PADANG  RENGAS: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Padang Rengas Kali Ke-35 telah berlangsung dengan penuh meriah di Markas Tarbiah PAS Padang Rengas, Kampung Berala, di sini semalam.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menitipkan pesanan yang pernah diterimanya dari beberapa tokoh PAS di mana mereka sudah meninggal dunia.
 
Jelasnya, pesanan-pesanan tersebut menjadi gambaran kesinambungan perjuangan yang punya sifat manis dan pahit, di mana seru beliau segala kepahitan harus ditelan sahaja, jangan ‘digigit’.
 
Sempena mesyuarat yang merupakan tahun pemilihan kali ini, Dr Azman juga berpesan agar semua pemimpin terpilih agar bersedia menjadi seperti tempoyak diletak dalam budu.
 
Beliau Exco Kerajaan Negeri Terengganu memaksudkan sifat merendah diri seseorang apabila tidak disanjung dan tidak dihormati biarpun berkedudukan dan berjawatan tinggi.
 
Pun begitu tegasnya, kerendahan diri pimpinan PAS bukan bererti parti ini boleh dipermain khusus melibatkan kepentingan Islam kerana telah nyata terdapat pihak melampaui ‘melanggar lampu merah’.
 
Perasmian penuh bersejarah tersebut turut menyaksikan julung kalinya kehadiran pemimpin Umno antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abd Aziz dan Adun Chenderoh, Dato’ Zainun Mat Noor.
 
Juga Adun Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin, Naib Ketua Umno Padang Rengas, Khairuddin Mohamed Azhari dan Ketua Puteri Umno Negeri Perak, Susmaniza Sulaiman, selaim Timbalan Presiden PERAKAN, Dato’ Prof Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin. – HARAKAHDAILY 18/3/2019
IMG 20190318 WA0006IMG 20190318 WA0007IMG 20190318 WA0004
- Advertisement -